PENYAMPAI radio Johan memilih pendekatan berbeza dalam mendidik anak-anaknya agar menjadi insan yang lebih baik.
Berkongsi mengenai perkara itu, Johan atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, berkata dia pernah menghantar anaknya iaitu Ahmad Sodiq Hanania ke rumah anak yatim.
Katanya, tindakan itu sebagai satu bentuk pembelajaran buat anaknya memandangkan Sodiq mempunyai sikap tidak suka berkongsi barang bersama adik-beradik yang lain.

Johan dan isteri sentiasa tegas dalam mendidik anak.
"Dia (Sodiq) memang tak boleh nak berkongsi. Dia dengan adik-beradik sekalipun memang tak boleh nak kongsi.
“Jadi, keputusan yang saya buat ialah hantar ke rumah anak yatim. Bagi saya, ini adalah satu hukuman untuk diri dia sendiri supaya memberi kesedaran dan pembelajaran.
“Sodiq merupakan anak yang tak boleh kongsi makanan, pakaian dan barang-barang dia. Semua memang orang lain tak boleh guna,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Harta Johan hanya untuk Ozlynn, anak-anak cari duit sendiri... “Isteri banyak susah senang bersama”
ARTIKEL BERKAITAN: Johan pilih hidup sederhana bersama keluarga, pentingkan pendidikan anak-anak
Johan berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu temu bual di program realiti TV, Borak SeeNI.
Berkongsi lebih lanjut, Johan berkata dia menghantar Sodiq dan adiknya, Haziq, selama tiga hari ke rumah kebajikan itu selepas melakukan kesalahan bersama.
“Ada satu hari dia buat kesalahan dengan adik dia, jadi saya bawa Sodiq dengan Haziq, dua-dua pergi ke rumah anak yatim selama tiga hari,” jelasnya.

Hubungan anak-anak Johan semakin akrab.
Perkongsian tersebut mendapat pujian ramai yang kagum dengan ketegasan Johan dalam mendidik anak-anak.
Untuk rekod, Johan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ozlynn pada 25 Julai 2009.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan enam orang cahaya mata.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


