suria

3,676 Kematian Babitkan Penunggang, Pembonceng Motosikal

KUALA LUMPUR: Kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu kira-kira purata 3,676 kematian setahun atau 58.2 peratus dari 2001 hingga 2010.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, jumlah itu turut disumbangkan oleh pertambahan bilangan motosikal iaitu kira-kira 12 peratus setahun.

"Kerajaan memandang berat dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk memerangi kadar peningkatan kemalangan di jalan raya berasaskan strategi 5E (Education, Enforcement, Environment, Engineering, Evaluation)," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan pada sidang Dewan Rakyat, Rabu.

Menurut beliau, beberapa inisiatif dilakukan termasuk pemeriksaan dan pemantauan ke atas bas ekspres oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan di terminal dan depot bas untuk membanteras kemalangan pada musim perayaan.

"Pada 27 dan 28 Ogos lalu iaitu dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, kenderaan barangan dilarang menggunakan jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan," tambahnya.

Abdul Rahim berkata, sebanyak 2,198 Lesen Perubahan Sementara turut dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi bas tambahan untuk memenuhi peningkatan penggunaan pengangkutan awam pada sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011.

Sementara itu, katanya, kadar kemalangan juga berkait rapat dengan pertambahan kira-kira satu juta kenderaan setahun.

"Pengiraan itu dilakukan berdasarkan jumlah kenderaan sehingga 31 Ogos lalu iaitu sebanyak 21,021,217 buah dan bilangan pemegang lesen pemandu seramai 12,623,950 orang," katanya.

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung bilangan menara pemerhati polis yang masih berfungsi untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, Abdul Rahim berkata, ia merupakan inisiatif yang dilakukan Polis Diraja Malaysia.

"Saya tidak pasti mengenai perkara ini...kena tanya PDRM. Namun kita ambil pendekatan holistik untuk menangani kadar peningkatan kemalangan maut di jalan raya," katanya.

Artikel Lain