suria

APMM Tahan Kapal Asing Bersauh Tanpa Kebenaran

JOHOR BAHARU: Sebuah kapal asing yang disyaki bersauh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Tanjung Piai di sini, Rabu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, ketika Bot APMM Kilat 18 melaksanakan operasi rutin di perairan Johor Barat pada lebih kurang pukul 2 petang, ia mengesan sebuah kapal yang mencurigakan di kedudukan 3.6 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kapal tersebut, MT Federal II bersauh tanpa kebenaran ketua pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Ketua pegawai dan ketua jurutera kapal dibawa ke pejabat daerah Maritim Johor Baharu, APMM Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menurut Zukifili, kapal MT Federal II didaftarkan di Monrovia, Liberia dan terdapat 15 orang kru di atas kapal tersebut yang kesemuanya warga negara India berumur antara 25 hingga 43 tahun.

Kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491(B)(l)(d). -BERNAMA

Artikel Lain