suria

Dr. Mahathir Akui Gagal Bangunkan Kg. Baru

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui antara kegagalannya semasa menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun ialah projek pemulihan dan pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurutnya , setelah mengumumkan rancangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru, beberapa masalah timbul berkenaan dengan pemilikan tanah dan harga tanah.

"Ramai penduduk Kampung Baru yang asal telah pun pindah dari situ kerana mereka setelah mencapai kemajuan mendapati Kampung Baru sudah tidak lagi selesa bagi mereka.

"Pada masa yang sama ramai tuan tanah telah meninggal dunia dan siapa pewaris mereka sukar dikesan," katanya dalam entri di blognya, Che Det di sini, Isnin.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, bagi tuan tanah yang berjaya dikesan, mereka menuntut harga terlalu tinggi menyebabkan kos pembangunan juga amat tinggi.

Tambahnya, jika begitu orang Melayu tidak mungkin dapat membeli kedai atau ruang untuk kediaman apabila dibina manakala mungkin orang bukan Melayu sahaja yang mampu.

"Jika harta yang dibangunkan dijual kepada bukan Melayu maka akan hilanglah Kampung Baru sebagai kawasan Melayu di KL," jelasnya.

Dalam pada itu, ujar beliau, pemaju dikenakan satu syarat bagi menentukan penduduk Kampung Baru terus berada di situ ialah mereka bukan sahaja dibayar harga tanah tetapi mereka akan diberi tempat perniagaan dan kediaman di bangunan yang akan didirikan. Syarat itu, katanya, boleh menjamin orang Melayu yang sekarang berada di situ akan terus berada di situ. Mereka tidak akan terusir keluar.

"Tetapi sekali lagi syarat in akan menaikkan kos pembanguan. Pemaju Melayu mungkin tidak berminat.

"Bukan Melayu juga mungkin tidak berminat kerana kemampuan Melayu membeli amat rendah. Hari ini pun banyaklah tempat kediaman dan kedai yang diperuntuk kepada orang Melayu tidak dapat dibeli oleh mereka.

"Oleh sebab ini pembangunan Kampung Baru KL gagal dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berdoa kerajaan sekarang akan berjaya membangunkan semula Kampung Baru supaya pelawat ke ibu kota tidak akan lihat kedaifan orang Melayu di negara mereka sendiri.

Katanya, di tengah-tengah ibu kota yang penuh dengan bangunan pencakar langit, yang moden dan mewah terdapat kampung setinggan Melayu dengan rumah kayu berbumbung zink karat.

Artikel Berikut

Artikel Lain