suria

Warga Republik Czech Bebas Tuduhan Perdaya Peniaga Minyak

SHAH ALAM: Seorang warga emas rakyat Republik Czech dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan cuba memperdayakan seorang peniaga minyak untuk menjual cek bernilai RM480 juta pada harga yang lebih rendah.

Hakim Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di sini, Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap Antonin Posposil, 68, pada prosiding di dalam kamar pada Isnin.

Peguam yang mewakili Antonin, P. Yugan memberitahu media, Asmadi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan barisan pembelaan supaya Antonin dibebaskan kerana tindakan pengadu yang menarik semula aduan.

Antonin didakwa untuk kali pertama pada 18 Mac 2010 atas tuduhan cuba menipu V. Mahendren, 31, supaya mempercayai satu cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta.

Dia yang merupakan presiden sebuah syarikat di negara asal didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.30 petang, 22 Februari 2010 di nombor 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain