suria

Wang Pendahuluan Kepada Wanita Di Sarawak Sehingga Tuntutan Nafkah Selesai

KUCHING: Berkuatkuasa bulan ini, wanita di Sarawak yang membuat tuntutan nafkah melalui Mahkamah Syariah dalam kes perceraian, akan diberi bantuan wang pendahuluan bulanan sekiranya bekas suaminya gagal hadir atau dikesan oleh pihak berkuasa dengan segera.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, rasional pemberian wang pendahuluan itu ialah bagi membolehkan wanita yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan harian. "Pemberian wang pendahuluan dianggap sebagai pinjaman dan bekas suami perlu membayar balik setelah pihak berkuasa berjaya menemuinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjumlah RM88,969 kepada 57 orang penerima di sini, Rabu.

Daud berkata sumber kewangan bagi wang pendahuluan itu adalah daripada TBS serta kerajaan persekutuan dan tiada faedah dikenakan.

"Hakim Mahkamah Syarie akan menentukan berapa jumlah wang pendahuluan bulanan yang patut diberi dan ini bergantung kepada latar belakang bekas isteri. Kalau yang mampu tidak akan diberi bantuan tersebut," katanya.

Beliau berkata wang pendahuluan bulanan akan tetap diberi walaupun bekas suami gagal dikesan dalam tempoh masa yang panjang kerana kebajikan wanita yang tidak mempunyai pendapatan perlu diutamakan.

Mengenai masalah kes tunggakan perceraian pasangan Islam di Sarawak, Daud berkata, setakat ini kes tunggakan adalah bagi tempoh sehingga tiga tahun dengan faktor utama bekas suami gagal dikesan untuk hadir di Mahkamah Syariah.

"Majoriti yang bercerai adalah golongan muda kerana tiada lagi keserasian selain daripada salah satu pasangan tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan," katanya.

Beliau berkata bilangan perceraian akibat poligami adalah kecil di Sarawak.

Daud, yang juga Pengerusi TBS berkata, pada tahun ini tabung itu berharap dapat mengutip RM60 juta daripada zakat di Sarawak berbanding RM59 juta tahun lepas.- BERNAMA

Artikel Lain