Warga Iran Kritikal Ketika Cuba Seludup Dadah Dalam Badan - Semasa | mStar

Warga Iran Kritikal Ketika Cuba Seludup Dadah Dalam Badan

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Iran berada dalam keadaan kritikal selepas cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini menggunakan badannya, berdepan komplikasi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata lelaki berusia 52 tahun itu mengadu sakit perut ketika berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum dihantar ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata bagaimanapun, Pusrawi kemudian merujuk warga Iran itu ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut pada 7 malam Rabu.

"Selepas dibedah, sebanyak 137 ketulan mampat seberat 765 gram berbentuk kapsul, iaitu dadah jenis syabu ditemui dalam perutnya. Nilai dadah masih belum diketahui," katanya.

Abdul Razak berkata pihak hospital kemudian memaklumkan penemuan dadah berkenaan kepada polis.

"Polis juga belum mendapat maklumat mengenai destinasi penerbangan lelaki itu, dan identitinya juga masih belum dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel