suria

3 Lelaki Larikan Van Keselamatan, Wang Tunai RM300,000

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bersenjatakan pistol melarikan sebuah van keselamatan bersama wang tunai RM300,000 dalam satu rompakan di Taman Segar, Cheras di sini petang Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata rompakan itu berlaku di hadapan pejabat cawangan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal berhampiran pusat membeli-belah Leisure Mall pada 6.10 petang.

"Dua pengawal keselamatan bersama seorang pemandu dikatakan sedang mengambil (karung berisi) wang di hadapan syarikat tersebut, mereka kemudian telah didatangi tiga lelaki tersebut yang kemudian mengarahkan mereka keluar dari van berkenaan, selain diugut tembak jika enggan mengikut arahan," katanya kepada pemberita di sini.

Khairi berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit berpakaian uniform (pengawal), dipercayai untuk memperdayakan mangsa sebelum melakukan rompakan itu.

"Van tersebut kini ditemui semula kira-kira 120 meter dari tempat kejadian iaitu di belakang deretan rumah kedai.

"Pemeriksaan polis kemudian menemui dua senjata api, iaitu selaras pump gun dan sepucuk pistol yang disahkan milik pengawal keselamatan bertugas, manakala karung berisi wang tunai RM300,000 didapati telah hilang," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal juga turut mendapati van tersebut diletakkan di lokasi yang sama dengan lokasi van keselamatan yang terlibat dalam satu kes rompakan tiga tahun lalu.

"Kami sedang menyiasat sama ada kedua-dua kes ini mempunyai kaitan, termasuk adakah ia dilakukan kumpulan sama," katanya.

Artikel Lain