suria

22 Buah Sekolah Di Kelantan Ditutup Esok

KOTA BARU: Sebanyak 22 sekolah di Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang ditutup esok berikutan kejadian banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata penutupan itu membabitkan 10,818 murid dan pelajar.

"Sekolah paling banyak terjejas ialah di daerah Pasir Mas iaitu sebanyak 15 buah, lima buah di daerah Tumpat dan dua buah di Gua Musang," katanya kepada Bernama, di sini, Ahad.

Beliau berkata 15 sekolah yang ditutup di Pasir Mas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Tiang Chandi, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Sri Rantau Panjang 2, SK Lubok Setol, SK Bakong, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Fallah, SABK Diniah, Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Khay Boon, SK Gual Tinggi, SK Rahmat, SK Kg Baru, SK Gelang Mas, dan SMK Meranti.

Di Tumpat pula sekolah yang terlibat ialah SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Telok Jering, SABK Nurulhuda dan SK Pdg Mandol.

"Manakala dua sekolah di daerah Gua Musang yang ditutup esok ialah SK Bihai membabitkan 230 murid dan SK Balar yang membabitkan 306 murid," katanya.

Beliau berkata sekolah-sekolah berkenaan akan beroperasi semula apabila keadaan banjir pulih sepenuhnya.

"Kita sentiasa mendapatkan perkembangan keadaan banjir di setiap sekolah daripada setiap Pejabat Pelajaran Daerah dari semasa ke semasa danapabila keadaan dilaporkan pulih sepenuhnya maka sekolah-sekolah terbabit akan dibuka semula," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain