suria

Pemilihan Umno Ditangguhkan 18 Bulan – Najib

KUALA LUMPUR: Pemilihan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut telah diputuskan secara sebulat suara oleh ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam.

"Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang bukan kali pertama, tetapi telah beberapa kali kita gunakan peruntukan ini.

"Hal ini supaya seluruh perhatian dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Najib berkata, Umno juga tidak mahu menjadikan pemilihan parti pada tahun hadapan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam parti walaupun beliau yakin perkara itu dapat dibendung.

"Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti," katanya.

Ditanya adakah penangguhan pemilihan Umno itu merupakan petunjuk yang menandakan pilihan raya umum akan diadakan pada tahun hadapan, Najib berkata: "Bukan perkara baru. Kita tidak boleh terlalu teruja."

"Setahu saya sudah tiga, empat kali kita pakai peruntukan ini. Tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno turut menangguhkan pengumuman barisan kepimpinan di beberapa buah negeri sehingga penghujung tahun ini.

"Perkara ini akan dilakukan dan saya diumumkan sebelum hujung tahun ini tapi bukan malam ini.

"Saya perlukan sedikit masa bersama-sama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri. Berilah sedikit tempoh, insya-Allah kita akan umumkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno, Oktober lalu Najib mengumumkan bahawa beliau akan melakukan rombakan terhadap barisan kepimpinan di beberapa buah negeri dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, beliau berkata mulai awal tahun depan, semua ketua cawangan dan ketua sayap peringkat cawangan diwajibkan untuk menghadiri kursus parti yang bakal menyaksikan lebih 50,000 pemimpin Umno diberi latihan.

"Kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan kepada Model Baru Politik yang telah saya gariskan dengan tujuh prinsipnya.

"Kita akan murnikan lagi dan terangkan tentang gagasan 1Malaysia dan bagaimana Umno adalah parti yang mendahulukan rakyat, menjaga kepentingan rakyat dan mementingkan sistem penyampaian kita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain