suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuh Raya Persekutuan

PETALING JAYA: Tiga lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di KM28.4 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi apabila warga Myanmar Dong Sian Sing dilaporkan melintas lebuh raya itu lalu dilanggar sebuah kereta yang menghala ke Kuala Lumpur sebelum tercampak ke seberang jalan.

"Mangsa yang tercampak ke seberang jalan sekali lagi telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda dan menyeret mangsa sejauh 50 meter.

"Kenderaan itu terbabas dan menyebabkan dua penumpang di dalamnya tercampak ke luar dan mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Khamis.

Beliau berkata penumpang di dalam pacuan empat roda itu terdiri dari warga Myanmar Htet Iwin Zaw, 29 dan seorang lagi rakyat tempatan Mohd Yuros Shahri Mohd Yusof, 21. "Pemandu dan dua lagi penumpang di dalam kenderaan pacuan empat roda itu hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Arjunaidi berkata kawasan itu kerap berlaku kemalangan berikutan orang ramai yang suka melintas jalan tanpa menggunakan jejantas yang disediakan.

"Mungkin mereka malas hendak berjalan jauh untuk menggunakan kemudahan yang ada menyebabkan laluan bawah (lebuh raya persekutuan itu) yang menjadi pilihan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tun Mahathir Dilantik Sebagai Penaung MTEX

Artikel Berikut

Artikel Lain