suria

21 Pengikut Islam Jamaah Dibebas Dengan Jaminan Mahkamah

KAJANG: 21 individu termasuk lapan warga asing yang ditahan kerana dipercayai pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini pada Selasa.

Semua mereka yang hadir di mahkamah berusia dalam lingkungan antara 29 dan 50 tahun serta terdiri daripada enam warga Indonesia dan dua rakyat Bangladesh.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah membenarkan semua mereka dibebaskan dengan jaminan antara RM1,500 dan RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu penjamin hendaklah terdiri daripada rakyat tempatan yang bermastautin di Selangor.

Penjamin juga dikhendaki mempunyai talian persaudaraan dekat dengan tertuduh dan kes itu akan disebut semula pada 28 Disember ini.

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Semua mereka ditangkap pada 26 November lalu, di sebuah surau di Sungai Tangkas, dekat sini semasa dikatakan menunaikan Solat Jumaat tanpa kebenaran dan mengikut imam yang tidak memperoleh tauliah daripada Jabatan Agama.

Solat Jumaat itu juga dilakukan dalam jumlah jemaah yang tidak mencukupi 40 orang manakala khutbah juga menggunakan koleksi buku yang tidak diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bagi kesalahan itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (c) dan Seksyen 13(1) Enakmen Jenayah Syariah serta Seksyen 97(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Ajaran IJ difahamkan diasaskan oleh seorang lelaki yang berasal daripada Jawa Timur, Indonesia, Haji Nurhasan al-Ubaidah atau nama sebenarnya, Mohd Madigol Ab Aziz pada 1941.

Antara ciri-ciri ajaran tersebut ialah orang Islam selainnya dianggap sebagai kafir, najis mughallazah (berat) seperti najis anjing tidak perlu disamak dan binatang yang mati di dalam kawasan kampung orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

Selain itu, ajaran tersebut juga menyatakan tulang babi adalah tidak haram untuk orang Islam.

Pengikut ajaran itu juga mempercayai bahawa dosa boleh diampunkan dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpinnya sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Lain