suria

Agensi Kerajaan Sentiasa Bersedia Hadapi Banjir Tidak Dijangka

KUALA LUMPUR: Banjir yang berlaku di Kedah dan Perlis baru-baru ini sekali lagi menguji tahap kesediaan agensi kerajaan dalam menghadapi bencana alam semula jadi ini.

Apabila akhbar tempatan melaporkan banjir di kedua-dua negeri itu yang paling buruk sejak 2005, penduduk tempatan dan golongan veteran yang sudah lama menetap di Alor Setar berpendapat banjir yang dialami mereka kali ini ialah antara yang terburuk sejak 40 tahun.

Kerugian adalah besar contohnya Jabatan Pelajaran Negeri Perlis menganggarkan mengalami kerugian lebih RM13 juta selepas pelbagai peralatan, termasuk kelengkapan di hampir semua sekolah seluruh negeri itu ditenggelami banjir sejak lebih seminggu.

Sementara di Kedah pula Kementerian Kerja Raya memperuntuk kira-kira RM18 juta untuk membaiki jalan rosak akibat banjir besar yang melanda negeri itu sejak 31 Okt.

Walaupun banjir bukan perkara baru di Malaysia, terutama di negeri-negeri di utara, rakyat sudah tentunya ingin mengetahui cara paling berkesan untuk meramal banjir dan siapa yang boleh menolong mereka.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) sentiasa memantau keadaan cuaca yang berlaku di negara ini selama 24 jam setiap hari.

Bila terdapat tanda-tanda cuaca buruk akan berlaku, mereka boleh mengeluarkan nasihat cuaca buruk dalam tempoh lima hari.

Maklumat (nasihat)iru akan disebarkan melalui faks dan sms kepada agensi yang berkaitan - Jabatan Pengairan dan Saliran, agensi keselamatan dan media.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan) Jabatan Meteorologi Malaysia Che Gayah Ismail berkata apabila keadaan cuaca (buruk) mulai berlaku dan semakin ketara kesannya, maka pihaknya akan meningkatkan status daripada nasihat kepada amaran.

"Maklumat ini akan disebarkan melalui faks, sms dan juga menelefon terus ke agensi yang terlibat. Ini bertujuan untuk memastikan agar maklumat yang disebarkan benar-benar sampai kepada penerima.

"Keseluruhan kaedah yang dilaksanakan JMM ialah mengikut garis panduan yang termaktub dalam Peraturan Tetap Operasi (PTO)," katanya.

Che Gayah berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menghasilkan ramalan cuaca antaranya bagi mendapatkan data cuaca, iaitu menggunakan satelit cuaca, radar cuaca, radar cuaca Doppler dan pencerapan harian dari stesen meteorologi di seluruh negara.

Beliau berkata melalui input itu dan panduan ramalan, pegawai meteorologi akan menggunakan model ramalan cuaca berangka yang menggunakan pengiraan komputasi.

"Dengan menggabungkan kedua-dua sumber ramalan tadi, pegawai meteorologi akan menganalisis dan berbincang secara berkumpulan untuk menghasilkan produk ramalan cuaca.

"Semua maklumat itu akan disebarkan melalui laman sesawang JMM, faks dan emel, perkhidmatan sms kepada media, agensi yang berkaitan dan pelanggan," katanya.

Siapa yang akan membantu jika berlaku banjir?

Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan agensi utama yang diamanahkan menjalankan pelan kecemasan semasa banjir.

Setiausahanya Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata dasar dan mekanisme pengurusan dan bantuan bencana negara telah pun digariskan dengan jelas di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20.

Beliau berkata di bawah arahan itu, terdapat beberapa peringkat pengurusan bencana iaitu daerah, negeri dan pusat.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah merupakan sebuah jawatankuasa yang penting bagi memastikan semua keperluan sumber kewangan, sumber manusia dan aset di daerah itu mencukupi dan dalam keadaan baik (boleh digerakkan dengan segera).

"Akhir sekali, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat boleh mendapatkan bantuan kemanusiaan daripada negara lain sekiranya keadaan benar-benar di luar kawalan pengurusan bencana negara.

"Bagaimanapun, keadaan di mana kita memerlukan penglibatan negara luar jarang sekali berlaku.

"Ini kerana, kejadian bencana yang berlaku selama ini masih lagi dapat diuruskan oleh agensi-agensi tindak balas bencana dalam negara," katanya.

ATM SENTIASA BERSEDIA

Sementara itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan bahawa mereka sememangnya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam menghadapi banjir pada bila-bila masa.

Panglima Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia, Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin berkata pihaknya sememangnya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi apa sahaja situasi banjir.

Beliau berkata pengalaman beberapa tahun lalu seperti yang berlaku di Johor sentiasa dijadikan pengajaran untuk mereka menghadapi situasi yang tidak dijangka.

"Masa itu kami ingat hanya di Kelantan dan utara sahaja banjir tetapi Johor juga banjir besar waktu itu, jadi kami yang berada di situ terpaksa berpatah balik dengan segera bagi menghulurkan bantuan di sana," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain