suria

29 Syarikat Francais Tempatan Berjaya Tembusi Pasaran 49 Negara

KOTA KINABALU: Sebanyak 29 syarikat francais tempatan sudah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 49 negara sekaligus menunjukkan kemampuan francais tempatan bersaing di peringkat antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini termasuk negara seperti Indonesia, India, Arab Saudi, Singapura, Brunei dan China.

Ismail Sabri berkata sehingga 24 November lepas, terdapat 331 syarikat tempatan berjaya didaftarkan sebagai pemberi francais, 60 syarikat pemegang francais dan 90 syarikat selaku francaisi kepada francaisor asing.

Daripada jumlah itu, terdapat penambahan hampir sekali ganda bagi bilangan francaisor tempatan yang berjaya diwujudkan pada tahun ini berbanding tahun lepas, katanya dalam ucapan penutupan ekspo Beli Barangan Malaysia dan peluang perniagaan francais zon Sabah yang disertai 55 syarikat pelbagai sektor di Suria Sabah di sini, Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Herbert Lagadan.

Ismail Sabri berkata sepanjang tahun lepas, hanya 28 francaisor tempatan dilahirkan berbanding 61 francaisor tempatan yang dihasilkan pada tahun ini.

Mengenai ekspo Beli Barangan Malaysia, beliau berkata kementeriannya akan mengadakan ekspo terakhir di Sarawak pada bulan depan.

Katanya sepanjang tahun ini, kementerian merancang untuk mengadakan tujuh ekspo di seluruh negara, dan sehingga kini, enam ekspo telah diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kuantan, Johor dan Sabah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain