Cubaan membunuh merujuk kepada perbuatan atau niat untuk menghilangkan nyawa seseorang, yang merupakan satu jenayah berat dan serius. -Gambar hiasan AI
TINDAKAN kejam seorang isteri yang tergamak menyimbah asid ke atas suaminya akhirnya mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas menyebabkan mangsa mengalami buta kekal dan kecacatan pada wajah.Selain hukuman penjara, Mahkamah Laluan Pantas di daerah Sambhal yang bersidang pada Isnin turut memerintahkan Kahkansha, 30, membayar denda sebanyak 175,000 rupee (RM7,303). Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Sambhal, Uttar Pradesh, India pada 7 Mac tahun lalu.Menurut Pendakwa Raya, Narendra Kumar Yadav, tertuduh dipercayai bertindak zalim dengan menuang asid ke atas suaminya, Muzaffar, 35, ketika mangsa sedang nyenyak tidur di rumah mereka dengan niat untuk membunuhnya.Katanya, selepas serangan pertama, mangsa cuba melarikan diri namun wanita itu didakwa sekali lagi menyimbah asid ke arahnya.Akibat serangan tersebut, wajah mangsa mengalami kecacatan teruk selain kehilangan penglihatan pada kedua-dua mata secara kekal.Narendra turut mendedahkan bahawa pasangan itu sememangnya sering bertengkar sebelum ini, dan tertuduh dilaporkan mendesak untuk bercerai kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan dua orang cahaya mata.Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat pada 20 Mac 2025 sebelum tertuduh didakwa mengikut peruntukan berkaitan dalam Bharatiya Nyaya Sanhita (undang-undang jenayah).Pihak mahkamah menegaskan bahawa mereka mengambil kira tahap keseriusan dan kezaliman jenayah yang dilakukan sebelum memutuskan hukuman penjara seumur hidup serta denda maksimum terhadap tertuduh. -Agensi