SEORANG lelaki dipercayai dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dikerat beberapa bahagian dan dibakar sepasang suami isteri.Tragedi ngeri itu dilaporkan berlaku di Uttar Pradesh, India. Berdasarkan laporan pada Selasa, mangsa dikenali sebagai Vijay Nishad dari daerah Fatehpur dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu.Susulan itu, keluarganya membuat laporan polis tiga hari kemudian kerana gagal menghubunginya.Menurut polis, hasil siasatan membawa kepada seorang wanita dikenali sebagai Kiran Devi yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan mangsa. Dia kemudian ditahan bersama suaminya, Kamta Prasad Nishad untuk disoal siasat.Tambah polis, pasangan terbabit akhirnya mengaku terlibat dalam pembunuhan berkenaan berikutan mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan Kiran sejak beberapa bulan lalu.Polis percaya Kamta Prasad kemudian merancang pembunuhan tersebut bersama isterinya sebelum memanggil mangsa ke rumah mereka menggunakan helah tertentu. Sebaik tiba, Vijay didakwa diserang terlebih dahulu sebelum dibunuh.Bagi menghapuskan jejak jenayah, pasangan itu didakwa cuba memindahkan mayat pada waktu malam namun gagal memasukkannya ke dalam guni.Mereka kemudian dipercayai menggunakan gergaji dan mesin pemotong untuk mengerat tubuh mangsa kepada beberapa bahagian sebelum dibawa ke kawasan hutan di daerah Kanpur Nagar untuk dibakar.Polis turut mendakwa pasangan itu membuang barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit, kad ATM, kad pengenalan, kasut dan beberapa barangan lain di lokasi berasingan bagi menyukarkan proses pengecaman dan siasatan.Dalam pada itu, pasukan polis turut memaklumkan, pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek pula menemukan sejarah carian Internet dan YouTube berkaitan siasatan kes bunuh, hukuman bagi pembunuhan, sistem penjara, hukuman mati serta cara melupuskan mayat dan memusnahkan bukti.Susulan maklumat yang diberikan suspek, polis berjaya menjumpai beberapa bahan bukti termasuk sisa rangka manusia, serpihan telefon bimbit, pakaian yang dibakar, gergaji, bilah mesin pemotong dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut. -Agensi