suria

Jemaah Haji Perlu Kekalkan Imej Baik Negara - Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini agar mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia khususnya kerajaan Arab Saudi ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata sebarang kecacatan terhadap perilaku jemaah haji negara ini akan memberi kesan kepada urusan berkaitan haji pada masa depan.

"Saya percaya kita (jemaah) yang akan tunaikan haji dari Malaysia pada kali ini dan akan datang terus mengekalkan tradisi dan imej yang baik dan sempurna supaya tidak ada kecacatan terhadap imej negara kita.

"Ini akan memudahkan apabila kita berurusan dengan pemerintah Arab Saudi seperti lebih mudah untuk menentukan bilangan kuota pada setiap kali musim haji," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada 211 bakal haji dari kawasan Parlimen Pekan di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Datuk Ismeth Ismail.

Perdana Menteri berkata ini akan menjadi satu manifestasi hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi yang terjalin sekian lama.

"Dalam dua perjumpaan saya dengan Raja Abdullah (Abdulaziz Al-Saud) sebelum ini, baginda menyatakan bahawa pada pengamatan baginda, perilaku jemaah Malaysia adalah yang paling baik berbanding jemaah lain, ini sudahpun menjadi satu yang sudah tersemat dalam ingatan pemerintah Arab Saudi itu," katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan urus tadbir ibadat haji menerusi sebuah badan yang cekap iaitu Tabung Haji.

"Saya sudah tunaikan ibadat haji bagi diri saya dan pergi ke tanah suci dalam urusan umrah dan saya lihat keadaan jemaah negara lain tidak dalam keadaan yang sempurna seperti urusan jemaah haji Malaysia," katanya.

Malah katanya, kerajaan turut menanggung 30 peratus subsidi kos menunaikan haji bagi setiap jemaah yang pada masa ini hanya perlu membayar RM9,980 berbanding kos sebenar iaitu RM13,000.

"Saya fikir tidak ada negara lain di dunia ini yang ada urusan seperti ini iaitu bukan sahaja sebuah badan yang khusus untuk jemaah haji tetapi satu pertiga kosnya dapat ditampung melalui pendapatan yang diperoleh Lembaga Tabung Haji yang merupakan satu rahmat yang besar kepada kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain