suria

4 Termasuk 2 Beranak Maut Dalam 3 Kemalangan Di Pahang

KUANTAN: Dua beradik adalah antara empat orang yang maut dalam tiga kemalangan yang berlaku di Pahang semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dua beradik tersebut maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum terjunam ke dalam gaung di simpang Jalan Felda Bukit Kuantan-Bukit Sagu di sini.

"Kereta itu dinaiki tiga beradik, dua daripadanya maut manakala seorang lagi cedera. Mereka yang maut ialah pemandu kereta Mohd Hamdan Fauzi, 30 dan Mohd Farid, 19 yang duduk di hadapan, manakala yang cedera ialah Masri, 29," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Mengulas kejadian itu, Mohamed Fauzi berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang dan ketika tiba di tempat kejadian, Mohd Hamdan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum terjunam ke dalam gaung berhampiran.

Dalam satu lagi kemalangan, Mohamed Fauzi berkata seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah lori di Km 63, Jalan Kuala Lipis-Merapoh pada pukul 3.30 petang.

Fauzi Mohd Rahim, 33, meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis akibat kecederaan teruk di kepala serta mengalami patah kaki dan bahu kanan.

"Mangsa yang memandu bersendirian telah bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan selepas kereta yang dipandunya terbabas," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian malam tadi seorang remaja lelaki terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Km 17, Jalan Jerantut-Temerloh.

Katanya ketika kejadian pukul 9 malam itu, Mohd Shukri Osman, 18, yang berasal dari Kuala Krau menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumah sebelum terbabas dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan. -BERNAMA

Artikel Lain