suria

29 Sept Keputusan Sama Ada Pemandu Lori Perlu Bela Diri Tuduhan Edar Syabu

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 29 Sept ini untuk menyampaikan keputusan sama ada pemandu lori yang dituduh mengedar 753,359 gram syabu bernilai lebih RM200 juta pada Mei tahun lepas perlu membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Lee Yong Toe, dari Taman Iskandar, Johor Baharu, dituduh mengedar syabu berkenaan di Km3, Jalan Cenderawasih, Rompin bersama seorang lagi yang masih bebas pada 6.45 pagi, 2 Mei, 2009.

Lee, 48, dituduh mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam yang mewakili Lee, Datuk V. Sithambaram dalam hujahannya mempersoalkan kredibiliti dan integriti beberapa anggota polis yang merupakan saksi kes itu yang dalam keterangan mereka mengaku mengambil empat bungkusan mengandungi syabu terbabit sebagai habuan di atas penat lelah mereka.

Seorang lagi peguam yang mewakili tertuduh, Hisham Teh Poh Teik berkata pihak pendakwaan gagal memanggil dua saksi penting yang turut ditahan berhubung kes itu bagi memberi keterangan di mahkamah.

Katanya, kedua-dua mereka termasuk abang kepada tertuduh yang kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985) itu boleh merungkaikan lebih lanjut kes berkenaan,

Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dalam hujahannya berkata bungkusan yang diambil oleh anggota polis terbabit tidak menggangu dan menjejaskan sifat, kualiti dan identiti keseluruhan dadah syabu yang dirampas.

"Soal kredibiliti saksi merupakan hak mahkamah untuk menentukannya, bagaimanapun tidak bermakna kesemua keterangan mereka harus ditolak," katanya.

Mengenai dua lagi lelaki yang tidak dipanggil memberikan keterangan, Jamil berkata, pihaknya melihat mereka tidak membantu naratif pendakwaan kerana kedua-duanya ditahan di tempat dan waktu berlainan daripada tertuduh.

Selain itu katanya, mahkamah perlu mengambil kira faktor kawalan dan pengetahuan tertuduh terhadap dadah berkenaan.

Katanya, tertuduh merupakan pemilik berdaftar lori yang membawa muatan dadah terbabit.

Tindakan tertuduh yang menyembur sejenis semburan terhadap anggota polis sebelum cuba melarikan diri juga menunjukkan dia mengetahui terdapat barangan salah di dalam lori berkenaan, katanya.

"Tidak mungkin ada orang cuba menganiaya tertuduh dengan meletakkan dadah bernilai ratusan juta ringgit di dalam lori berkenaan," katanya.

Pihak pendakwaan telah memanggil 14 saksi dalam perbicaraan kes yang bermula Ogos lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain