SEORANG pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun maut selepas ditikam dalam kejadian pada Jumaat. Hasil maklumat penduduk tempatan, suspek berjaya ditahan pihak berkuasa pada hari sama kejadian selepas bersembunyi di sebuah terusan awam. Mangsa, seorang perempuan dikenali sebagai A (nama samaran), merupakan pelajar tahun akhir sekolah menengah sedang dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal sebelum diserang.Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Boi Yang-Nong Takien, daerah Sawang Arom, Wilayah Uthai Thani, kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.Menurut laporan, bapa mangsa terdengar jeritan anaknya dari arah jalan raya sebelum segera bergegas ke lokasi.Setibanya di tempat kejadian, dia menemui remaja itu dalam keadaan cedera di kawasan semak berhampiran hutan, manakala suspek dilaporkan sudah melarikan diri.Bapa mangsa kemudian membawanya ke Pusat Kesihatan Boi Yang untuk mendapatkan rawatan kecemasan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sawang Arom.Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital tersebut.Susulan kejadian, Timbalan Penguasa Balai Polis Sawang Arom, Leftenan Kolonel Polis Songchak Praphatsorn menggerakkan operasi besar-besaran bagi memburu suspek.Usaha itu membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 6.40 petang.Siasatan awal mendapati suspek sempat pulang ke rumah untuk menukar pakaian selepas kejadian sebelum memaklumkan kepada ibu saudaranya bahawa dia telah menikam pelajar berkenaan.Ketika disoal siasat, suspek mendakwa tindakan itu dilakukan secara spontan akibat hilang pertimbangan dan bukan dengan niat untuk membunuh mangsa.Polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta melengkapkan proses pendakwaan terhadap suspek. -Agensi