suria

1.2 Juta Dijangka Pulang Ke Kota Hingga Hujung Minggu Ini

PUTRAJAYA: Seramai 1.2 juta pengguna dijangka membanjiri lebuh raya setiap hari bagi tempoh tiga hari bermula Jumaat apabila warga kota dijangka pulang dari kampung halaman masing-masing selepas meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan berkata JPJ akan melipatgandakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan terutama di 202 kawasan berbahaya yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

"Mulai 8 malam tadi kami telah menggerakkan seluruh anggota dengan memberi tumpuan lebih kepada kawasan-kawasan ini dan ia akan diteruskan sehingga 12 malam Ahad nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Solah berkata larangan penggunaan jalan raya oleh kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan semula bermula 12.01 tengah malam ini sehingga Ahad nanti, bagi mengelakkan kesesakan yang lebih buruk.

Beliau berkata larangan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada lori kategori 4 iaitu lori yang membawa bahan keperluan seperti gas dan kimia, makanan serta perubatan.

"Pada penguatkuasaan larangan pada 8 dan 9 Sept lalu, hanya 16 kes yang dikenal pasti melanggar peraturan jadi saya harap mereka dapat mematuhi larangan ini sekali lagi," katanya.

Solah bagaimanapun berkata sikap pemandu adalah perkara paling utama dalam memastikan pemanduan yang selamat, justeru pemandu perlulah bersabar, merancang perjalanan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mengenai kebenaran menggunakan laluan kecemasan yang pertama kali dilaksanakan pada musim perayaan kali ini, Solah berkata setakat ini beliau menerima maklum balas positif tentang usaha mengurangkan kesesakan di lebuh raya itu.

Beliau berkata kebenaran itu juga hanya membabitkan kawasan tertentu yang sering mengalami kesesakan akibat laluan sempit dan hanya boleh digunakan apabila diputuskan oleh polis dan peronda Plus yang menjaga kawasan berkenaan sekiranya terdapat keperluan.

"Ini bermakna tidak semua laluan kecemasan boleh digunakan dan bukannya sepanjang masa, hanya untuk menyuraikan kesesakan," katanya.

Sehingga semalam, Solah berkata Ops Sikap XXII merekodkan sebanyak 27,738 kenderaan diperiksa, dengan 3,799 saman dikeluarkan terhadap pemandu dengan pelbagai kesalahan manakala 19 kenderaan disita. - BERNAMA

Artikel Lain