suria

Jenayah Kolar Putih: Penganjur Bakal Berhadapan Hukuman Lebih Berat

KUALA LUMPUR: Mana-mana syarikat, individu dan penganjur yang terbabit dengan jenayah kolar putih akan dikenakan hukuman lebih berat jika sabit kesalahan selepas pindaan dibuat terhadap Akta Larangan Wang Kutu 1971.

Keputusan untuk meminda akta tersebut dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui jawatankuasa khas bagi menangani jenayah kolar putih yang mengadakan mesyuarat kali kedua, di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hukuman sedia ada untuk kes-kes jenayah kolar putih terutama yang melibatkan syarikat jualan langsung dan penganjur 'kutu' terlalu kecil sedangkan habuan yang diterima oleh mereka yang terbabit dengan penipuan adalah jauh lebih besar.

"Hukuman yang sedia ada sekarang adalah terlalu ringan iaitu penalti RM5 ribu dan tiga tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

"Kalau hukuman yang perlu dibayar mereka adalah RM5 ribu dan hasil kutipan pula RM2 juta, pejam mata saja mereka boleh bayar," katanya.

Beliau berkata demikian berdasarkan kes di mana terdapat syarikat penganjur 'kutu' yang berjaya memperoleh sebanyak RM22.4 juta hasil kutipan dan penipuan wang orang ramai.

Mesyuarat jawatankuasa yang dihadiri oleh wakil dari SSM, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial itu juga turut bersetuju menyenaraikan kesalahan membabitkan kutu dan jualan langsung di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Bagi tujuan tersebut, jawatankuasa ini telah meminta kerjasama BNM untuk meletakkan kesalahan-kesalahan ini di bawah akta tersebut.

"Di bawah Akta Jualan Langsung (AJL) dan Akta Larangan Wang Kutu 1971, kita tiada kuasa untuk membekukan aset orang lain, tetapi jika ia diletakkan di bawah AMLA, kita boleh bertindak lebih.

"Dalam kesalahan peraduan gores dan menang atau skim piramid misalnya yang dijadikan kesalahan predikat di bawah AMLA, akaun mereka boleh dibekukan sementara siasatan dilakukan atau jika sabit kesalahan," katanya.

Tegas beliau, sekiranya jawatankuasa ini dapat mengesan wang telah dipindah ke akaun lain atau dipindahkan ke atas nama orang lain, wang atau aset mereka juga masih boleh dibekukan, termasuklah jika pesalah memindahkan wang mereka ke luar negara.

"Kita tak mahu bila kita serbu dan buat tangkapan, duit yang dikutip sudah habis. Sedangkan pelabur dan orang ramai banyak yang kena tipu dan habis banyak wang.

"Dengan adanya kerjasama dari BNM untuk memasukkan kesalahan seperti ini di bawah akta mereka (AMLA), kita harap pelabur dan mereka yang tertipu akan mendapat wang mereka semula," katanya.

Mengulas kes kolar putih yang diterima sejak jawatankuasa khas itu ditubuhkan pada April lalu, tiga orang pengarah dari syarikat Grand Merger Network Resources and Services telah dikenakan tindakan undang-undang.

Tiga lagi kes melibatkan jumlah penipuan keseluruhan sebanyak RM72 juta sedang disiasat oleh jawatankuasa khas ini.

Kerjasama antara KPDNKK dengan agensi-agensi ini dibuat bertujuan memudahkan dan mengelakkan pertindihan dari segi siasatan yang melibatkan kes-kes jenayah kolar putih.

"Kita mahu elak siasatan dibuat terlalu lama dan berakhir dengan 'tiada kes'. Akhirnya kes tak selesai dan terpaksa diserahkan kepada agensi lain pula untuk menyiasat," katanya.

Mesyuarat jawatankuasa itu antara lain telah bersetuju untuk mencadangkan kepada kabinet agar setiap ahli lembaga pengarah mengambil kursus pendek supaya mereka lebih faham apa yang patut dan tidak patut dilakukan apabila menubuhkan syarikat.

"Wakil dari agensi yang terlibat akan memberikan taklimat dan maklumat yang perlu dalam kursus tersebut kepada para peserta," katanya.

Artikel Sebelum

Zaid: Tiada Beza PKR-Umno

Artikel Lain