suria

150,000 Keping VCD dan DVD Cetak Rompak Bernilai RM1.5 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Kira-kira 150,000 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM1.5 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Segambut di sini pada Selasa.

Serbuan itu dibuat hasil risikan selama seminggu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Penolong Pengarah Bahagian Hak Cipta KPDNKK Putrajaya Mohd Hanizam Kechek berkata siasatan mendapati rumah dua tingkat itu dijadikan stor simpanan barang penjualan VCD dan DVD cetak rompak.

"Ia dipercayai untuk dijual di seluruh Malaysia. Ini berikutan penemuan sebahagian daripada VCD dan DVD itu dalam kotak yang bertanda nama-nama negeri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan penyewa rumah terbabit.

"Suspek dipercayai telah menyewa rumah itu selama sebulan dan kami percaya lelaki ini adalah suspek utama sindiket penyimpanan dan penjualan VCD dan DVD cetak rompak ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain