suria

20 Kaki Judi Ditahan Di Sebuah Hotel Mewah Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis menahan 20 orang termasuk seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia yang sedang asyik berjudi dalam satu serbuan di sebuah hotel mewah di Bukit Jambul, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata semua mereka dalam Ops Dadu itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam beberapa hari lalu.

"Serbuan dilakukan oleh anggota polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Kontijen Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 28 dan 52 tahun itu ditahan semasa sedang asyik bermain judi daun terup di tingkat 20 hotel tersebut.

"Hasil pemeriksaan, polis turut merampas wang tunai RM31,500 dipercayai wang pertaruhan dan peralatan permainan judi termasuk daun terup," katanya dan menambah ia merupakan serbuan pertama yang membabitkan penangkapan kaki judi di sebuah hotel mewah di sini tahun ini.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain