suria

Anwar Sambut Ulangtahun Harijadi Ke-62 Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa, telah dihadiahkan dengan sejambak bunga Lili di dalam mahkamah oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena ulang tahun hari jadinya yang ke-62.

Anwar tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini bersama isterinya itu dengan wajah yang tersenyum.

Dr Wan Azizah kemudiannya dilihat berjalan menuju ke bilik perbicaraan lalu meletakkan sejambak bunga Lili bersebelahan dengan tempat di mana Anwar duduk.

Apabila ditanya oleh para wartawan kemudian apakah hajatnya sempena harijadi hari ini, Anwar sambil tersenyum berkata, dia tidak menyimpan sebarang hajat.

"Saya tidak menyambut harijadi...hari ini sama seperti hari-hari biasa. Dan jika ada sekalipun hajat ia adalah sama sepertimana hajat saya setiap hari iaitu untuk melihat terlaksananya keadilan," ujarnya.

Anwar, yang dilahirkan di Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulai Pinang, kemudiannya menuju ke kafetaria mahkamah. Di situ beliau dijamu dengan teh dan kek hari jadi.

Antara mereka yang turut berada di kafetaria itu ialah Karpal Singh, Gobind Singh Deo dan Ram Karpal, ahli Majlis Tertinggi PKR, Datuk Chua Jui Meng dan Pengarah Strategik PKR Tian Chua.

Artikel Lain