suria

'Maafkan abang' - pesanan akhir pensyarah UiTM

PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mariyam Sakinah Ahmad yang mengadakan lawatan sambil belajar di New Zealand sejak Rabu lepas, terbunuh dalam kemalangan jalan raya di New Zealand kelmarin. -fotoBERNAMA
PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mariyam Sakinah Ahmad yang mengadakan lawatan sambil belajar di New Zealand sejak Rabu lepas, terbunuh dalam kemalangan jalan raya di New Zealand kelmarin.
-fotoBERNAMA
PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mariyam Sakinah Ahmad yang mengadakan lawatan sambil belajar di New Zealand sejak Rabu lepas, terbunuh dalam kemalangan jalan raya di New Zealand kelmarin. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Pelajar yang terselamat dalam kemalangan maut di New Zealand yang meragut nyawa seorang Timbalan Dekan dan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), dijangka dibawa pulang ke tanah air esok.

Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Prof Madya Dr. Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata, Siti Aishah Mohd Razi, 21, dijangka pulang bersama tiga pensyarah iaitu Nosrham Firdaus, Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli dan Ismail Sualman serta isteri Ismail, Narjis Sanip yang turut sama dalam lawatan sambil belajar ke New Zealand itu.

Kelima-lima mereka akan pulang ke tanah air dengan penerbangan Royal Brunei Airlines yang bertolak pada pagi Sabtu ini dan dijangka tiba di Malaysia pada tengah hari.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, Siti Aishah akan menjalani pembedahan kecil sebelum pulang ke tanah air dan beliau (Ahmad) akan terbang ke New Zealand malam ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pelajar-pelajar di sana.

Katanya, ketiga-tiga pensyarah itu dan isteri Ismail tidak menyertai kumpulan yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shafiee Ahmad, 51, dan Mariyam Sakinah Ahmad, 21, pelajar tahun dua jurusan penyiaran yang berasal dari Kampung Pinang Jawa, Kuching, Sarawak.

Van yang dinaiki kumpulan itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak di North Putaruru Tirau, Hamilton kira-kira 200 km dari Auckland pada pukul 8.15 malam kelmarin waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Mengenai keadaan pelajar yang cedera semasa kemalangan, beliau berkata, Amirul Abdul Rashid, 21, dan adik kepada Siti Murni Ayu Mohd Amirul, salah seorang pelajar yang tercedera, Mohd Khairul Fitri masih lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Waikato.

Siti Murni Ayu pula yang cedera ringan telah dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Ditanya mengenai urusan membawa pulang jenazah, beliau berkata, kedua-dua jenazah masih lagi berada di hospital di Waikato itu dan urusan membawa pulang menaiki pesawat akan dilakukan secepat mungkin dengan bantuan pihak kedutaan tetapi masanya belum lagi dapat ditentukan.

Sementara itu, balu Shafiee, Sarimah Shuhaimi, 46, berkata, beliau menerima berita duka pemergian suaminya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pensyarah yang menyertai rombongan ke New Zealand itu pukul 10 malam.

"Saya tidak percaya, hubungi telefon bimbit kawan dia balik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 8 di sini semalam.

Beliau yang bekerja sebagai pengurus di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor berkata, beliau agak berat untuk melepaskan suaminya ke luar negara kali ini, tidak seperti sebelum ini di mana beliau lazimnya akan bersalaman dengan suaminya sebelum perjalanan.

"Saya tidak tengok dia pergi, berat hati nak pergi hantar... dia ada SMS saya dan pesanannya itu 'maafkan abang'," katanya yang menerima pemergian Shafiee dan memberitahu anak-anaknya selepas menerima berita sedih itu.

Anak sulung arwah, Muhammad Zulhusni, 19, berkata, semasa beliau menghantar ayahnya ke kampus di mana peserta rombongan berkumpul sebelum ke lapangan terbang, ayahnya kelihatan ceria kerana telah lama merancang perjalanan ke New Zealand tetapi beliau dapat merasakan agak berat bagi ibunya untuk melepaskan ayahnya ke luar negara kali ini.

Selain Mohamad Zulhusni, Shafiee meninggalkan tiga lagi anak iaitu Jama'atul Adauyah, 17, Mariatul Qadtiah, 16, dan Muhammad Zulakmal, 8.

IMPIAN KELUARGA MANGSA

Dalam pada itu, bapa Mariyam Sakinah, Ahmad Mustapha, 51, penolong pengurus besar retail TM Sarawak berkata, impian murni keluarganya untuk melihat anak mereka menjadi seorang pengarah filem bila lulus pengajian musnah dengan tragedi tersebut.

Ahmad berkatam beliau dan isterinya, Adijah Marian, 46, cukup sedih menerima berita kematian anak perempuan mereka semasa lawatan sambil belajar selama 10 hari ke beberapa buah universiti di New Zealand dan untuk menyiapkan projek fotografi di sana.

"Ia berjanji menjadi pelajar yang cukup baik. Keluarga kami amat bangga dengannya tetapi sekarang kami hanya dapat mengingati ilai tawa dan senyuman manisnya," kata beliau ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pinang Jawa, Petra Jaya, Kuching.

Ahmad berkata, Mariyam telah memberitahunya yang ia akan pulang ke Kuching hari ini untuk menyambut Hari Raya Haji bersama keluarga serta cuti semester.

"Sebenarnya kami mendapat butiran kurang jelas mengenai kemalangan itu, yang kami dapat dengan membaca surat khabar New Zealand menerusi internet," kata beliau, dan menambah berita tragis itu disampaikan oleh seorang pensyarah dari UiTM di Shah Alam menerusi telefon pada 12.30 tengah malam kelmarin.

Katanya, beliau telah menelefon Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan difahamkan segala persiapan sedang dibuat untuk membawa balik jenazah anaknya ke sini secepat mungkin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain