suria

Umno Terengganu belum buat keputusan pasal calon

KUALA TERENGGANU: Umno Terengganu masih belum membuat sebarang keputusan berhubung calon yang akan dipilih bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, pihaknya perlu membuat kajian teliti terlebih dahulu sebelum menentukan calon yang benarbenar sesuai bagi menggalas cabaran parti.

"Pada mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kami tidak menyentuh mengenai calon untuk pilihan raya kecil itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir di sekitar Kuala Terengganu hari ini.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, dipercayai akibat serangan jantung, di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Jumaat lepas.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 6 Januari ini dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 17 Januari.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, isu mengenai pemilihan calon masih terlalu awal dan apa yang penting sekarang ialah untuk mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Ketika ini antara yang disebut-sebut ramai pemerhati politik sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Selain itu ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Sabri Alwi, Bendahari Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran negeri, Zuber Embong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain