suria

Keadaan banjir di Kuala Terengganu tidak banyak berubah

KUALA TERENGGANU:Keadaan banjir di Kuala Terengganu tidak banyak berubah petang ini dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di lima pusat pemindahan ialah 296 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Polis negeri berkata lima pusat terbabit ialah Sekolah Tok Jiring, Surau Pak Ali Tok Jiring, Balairaya Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

"Hanya empat orang yang dibenar pulang sejak pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pukul 5 petang ini paras air Sungai Terengganu di Sungai Berang dan di Kampung Dura serta sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan sungai Setiu di Kampung Besut melepasi tahap waspada.

Di KOTA BAHARU, seramai 252 orang dari 59 keluarga dari Kampung Bunohan masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan banjir di Tumpat.

Jurucakap Pusat Operasi Banjir Kelantan berkata sehingga petang ini paras air di Sungai Golok menunjukkan sedikit penurunan tetapi masih pada tahap berjagajaga.BERNAMA

Keputusan permohonan semakan kes Raja Petra 15 Disember

SHAH ALAM Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Dis depan untuk membuat keputusan sama ada pihak pendakwaan dibenarkan meminda pertuduhan terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayatayat menghasut di laman web itu, April lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd. Yusof dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Raja Petra, 58.

Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan semakan bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob yang menolak permohonan mereka untuk meminda pertuduhan bagi memasukkan dua intipati baru iaitu tajuk artikel dan alamat laman web.

Terdahulu, Mohd Yusof berhujah bahawa pihaknya hanya memohon untuk meminda Lampiran A iaitu artikel "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" yang dikemukakan bersama tuduhan asalnya dengan memasukkan tajuk artikel dan alamat laman web terbabit, bukan bertujuan menggantikannya dengan lampiran baru.

"Dalam kes ini, perbuatan pendakwaan pinda tuduhan terjumlah kepada 'alteration' seperti yang tercatit dalam Seksyen 158 Kanun Prosedur Jenayah dan bukan 'substitution'.

"Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tersalah arah bila menolak permohonan pendakwaan untuk pinda pertuduhan sedangkan perbuatan itu terjumlah dalam skop 'alteration' yang dibenarkan di bawah Seksyen 158 itu," katanya.

Seksyen 158 membolehkan mahkamah mengubah atau menambah pertuduhan sebelum keputusan perbicaraan dan ia perlu dibaca dan diterangkan kepada tertuduh.

Gobind pula mendakwa jika pendakwaan meminda pertuduhan, ia dibimbangi akan memprejudiskan anak guamnya lebihlebih lagi permohonan itu dibuat setelah lima saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

Mohd Yusof kemudian berkata isu memprejudiskan tertuduh tidak timbul kerana jika permohonan pindaan dibenarkan, pihak pembelaan mempunyai hak untuk memanggil semula saksisaksi yang telah memberikan keterangan pada perbicaraan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata pindaan itu juga akan menguntungkan pihak pembelaan kerana mereka disediakan dengan maklumat lengkap yang akan dikemukakan dalam keterangan kelak.

Raja Petra didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayatayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada 25 April lepas. Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain