suria

Abdullah ingin selesaikan semua isu utama sebelum berundur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau ingin menyelesaikan isu mengenai rasuah, suruhanjaya pelantikan hakim dan suruhanjaya aduan khas sebelum melepaskan jawatan pada Mac tahun depan kerana negara akan menghadapi masalah jika semua ini tidak ditangani.

Perdana Menteri berharap semua Anggota Parlimen akan menyokong Rang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Dis ini.

"Saya harap semua pihak melihat suruhanjaya ini di luar kepentingan parti dan mengundi sesuatu yang terbaik untuk rakyat," katanya dalam satu temu bual dengan akhbar tempatan.

Abdullah berkata bahawa dengan penubuhan MACC, cara Badan Pencegah Rausah (BPR) berfungsi akan berubah.

"Kita akan melihat BPR yang berbeza (kerana) ia akan mempunyai lebih kemampuan untuk bertindak dan perlu menjawab kepada rakyat," katanya.

Mengenai pelantikan hakim, Perdana Menteri berkata apa yang perlu dipastikan ialah badan kehakiman mestilah satu badan yang berwibawa.

"Jika rakyat yakin terhadap badan kehakiman, maka kita tidak perlu risau kerana kita mempunyai orang yang dapat melindungi hak kita, membela kita, dan seorang yang kita boleh merayu," katanya.

Daripada segi prosedur, Suruhanjaya Pelantikan Hakim yang dicadangkan itu, adalah bebas daripada campur tangan kerajaan dan pihak-pihak lain dalam memilih calon hakim.

"Anggota suruhanjaya akan berbincang sesama sendiri dan membuat pilihan secara undi sulit," katanya.

Mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara, Abdullah berkata Zaki adalah calon paling sesuai untuk jawatan itu daripada beberapa caloncalon yang turut dipertimbangkan.

Perdana Menteri berkata walaupun Azmi adalah bekas penasihat undang-undang Umno, beliau merupakan seorang yang berwibawa.

"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik, dan jika diberi tugas lain, saya yakin beliau akan melakukannya dengan baik juga," katanya.

Pengkritik akan bising jika penghakiman Azmi tidak memihak kepada mereka tetapi akan menganggap beliau hakim yang bagus jika penghakimannya memihak kepada mereka, katanya.

Mengenai dakwaan bahawa terdapat bantahan berhubung penubuhan suruhanjaya aduan, Abdullah berkata beliau bernaggapan tidak ada siapa yang akan menentang pembaharuan.

Abdullah juga berkata bahawa sebelum berundur, beliau mahu melakukan perkara yang betul dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

"Jika rakyat kata apa yang Pak Lah lakukan adalah baik, itu baguslah," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa tumpuannya terhadap pembangunan modal insan adalah supaya setiap orang akan melakukan tugas masingmasing dengan betul, tidak kira betapa sukar perkara itu.

Mengenai kebebasan bersuara, Abdullah berkata beliau memberi ruang kepada soal itu tetapi mereka yang menggunakan hak itu harus juga sedia mendengar suara orang lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain