suria

Anak tunggal Radhi OAG di ICU terjatuh kolam renang

KUALA LUMPUR: Anak tunggal Radhi OAG, vokalis utama kumpulan Old Automatic Garbage (OAG) berusia tiga setengah tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pantai setelah terjatuh dalam kolam renang rumah mentuanya di Petaling Jaya semalam.

Muhd Rifdhi Muslim dipercayai terjatuh ke dalam kolam renang sedalam 1.5 meter itu ketika cuba mengambil alat permainannya, sebuah bot plastik, dari kolam itu.

Ibunya Shazlin Sharif, 30, berkata ketika kejadian beliau berada di luar dan Muhd Rifdhi ditemui dalam kolam itu setelah adik perempuannya, Sharul Noor Akila, 21, dan tiga orang gaji mereka menyedari kanak-kanak itu tidak ada dalam rumah.

"Nasib baik ketika itu adik perempuan saya menyedari ketiadaan Riff, bergegas ke kolam renang dan menyelamatkannya.

"Ketika diselamatkan, perutnya kembung dan dipenuhi air. Kami tak tahu dah berapa lama kejadian itu berlaku tetapi ia mungkin antara pukul 10.45 hingga 11 pagi semalam," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Perubatan Pantai hari ini.

Shazlin berkata bahawa selepas Muhd Rifdhi dikeluarkan dari kolam, Sharul Noor Akila, memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut sebelum membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Radhi pula berkata kejadian itu adalah satu dugaan kepada mereka sekeluarga.

Katanya keadaan anaknya itu hanya dapat dinilai selepas 48 jam dari tempoh kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain