KESILAPAN dalam pengurusan kewangan menyebabkan sesetengah individu terjerumus dalam lembah muflis. Lebih menyedihkan apabila masalah dialami mengambil masa puluhan tahun untuk diselesaikan. Seorang lelaki yang enggan mendedahkan identiti, tampil berkongsi pengalaman hidup dalam kancah muflis sejak 2012. Malah katanya, pada masa tersebut dia tidak menyedari bahawa dirinya telah 'dimufliskan' kerana kekangan teknologi, tidak seperti sekarang. "Dulu kalau orang bankrap susah nak tahu, kadang-kadang individu tu sendiri tak sedar dah bankrap sebab teknologi masa tu tak secanggih sekarang. "Aku sendiri jadi bankrap tahun 2012, memang takut habis masa tu sampailah aku jumpa seorang usahawan yang dah alami perkara sama... pengalaman dia buat aku rasa lega sikit," luahnya di laman Facebook. Kebanyakan individu disenarai muflis kerana penggunaan kad kredit. -Gambar hiasan Menurut lelaki ini, sebagai penghutang, dia cuba untuk melangsaikan pinjaman bank yang dibuat. Namun malangnya, dia dinasihatkan supaya tidak membayar tunggakan pinjaman selepas bertemu dengan pengurus bank tersebut. "Satu hari tu, aku nak bayar hutang tapi pengurus bank pesan supaya tak payah bayar sebab nama dah masuk pejabat insolvensi. "Dia juga sarankan aku guna duit tu untuk buat bisnes dulu, kemudian bayar apabila sudah boleh dan selesaikan isu bankrap. "Katanya kalau bayar masa tu pun, aku kena bayar banyak juga... jadi baik terus bankrap," ujarnya. Meskipun hairan dengan saranan pengurus bank tersebut, namun dia mengambilnya dari sudut positif. Pada masa sama, dia mendapatkan pandangan daripada beberapa rakan yang turut diisytiharkan muflis. ARTIKEL BERKAITAN: Rekod bayaran ‘cantik’, baki tak berganjak! Pemuda ajar 3 cara pendekkan tempoh pinjaman, hutang rumah langsai dalam 12 tahun Apa yang mengejutkan, rakan-rakannya juga mencadangkan perkara yang sama dan memintannya fokus untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga. "Jadi, aku pun kerja dengan sebuah syarikat menggunakan pengalaman yang ada. Alhamdulillah, syarikat tu maju dengan izin Allah. "Dari kecil-kecilan sampai jadi Sdn Bhd, dapat buat jualan berjuta-juta, beli bangunan lot kedai, beli rumah dan syarikat tu juga tolong langsaikan semua hutang aku yang hampir setengah juta dengan orang perseorangan bukan agensi kewangan. "Syarikat juga hantar aku ke luar negara jika ada urusan untuk bisnes. Aku all out buat bisnes untuk syarikat tu dan syarikat tu bayar bulanan ke insolvensi sampai aku bebas dari bankrap," tambahnya lagi. Mereka yang diisytihar muflis cenderung alami tekanan perasaan. -Gambar hiasan Bersyukur dengan 'jalan' yang dilalui dan aturan Allah, dia yang kini berusia 50 tahun dapat menjalani kehidupan selesa dengan gaji RM3,000. Menurutnya, meskipun jumlah pendapatan yang diterima dianggap sedikit pada masa ini, namun majikannya menyediakan pelbagai kemudahan dan kelebihan termasuk membayar hutang insolvensi. Bukan itu sahaja, dia juga diberikan kereta serta rumah yang sederhana untuk kegunaan bersama keluarga. "Sekarang ni, umur dah jubli emas, tak larat nak redah macam dulu-dulu dan buat bisnes kecil-kecilan je untuk syarikat terus bergerak, bayar cukai. "Bagi aku, cukup untuk sara keluarga... yang penting, jangan putus asa dan terus berusaha, jaga disiplin, serta sikap kena bagus kalau nak maju. "Alhamdulillah, anak-anak aku pun dah membesar dengan baik, tak banyak merana masa aku jatuh dulu. "Nasib baik isteri aku bekerja, jadi dia boleh sara diri sendiri ketika aku susah," tambahnya memberikan nasihat kepada mereka yang berdepan situasi sama. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube