suria

Tak mustahil miliki rumah 600K! Ini langkah yang perlu dilakukan, impian tertunai dalam 3 tahun

Kediaman mewah dan selesa merupakan impian ramai. -Gambar hiasan

KEDIAMAN yang bernilai lebih RM600,000 sememangnya tersergam indah dan mewah selain dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

Pasti ramai yang mengimpikannya, bukan?

Namun, kekangan gaji dan faktor komitmen bulanan serta kos sara hidup menjadi penghalang kebanyakan masyarakat terutama mereka yang makan gaji.

Bagaimanapun, anda boleh merealisasikan impian memiliki rumah berharga lebih setengah juta itu jika mengikut tip yang dikongsikan Pelabur Bijak di laman X.

Paling penting, hapuskan persepsi bahawa gaji RM6,000 ke atas sahaja yang layak memilikinya.

Menurut Pelabur Bijak, persepsi tersebut sepatutnya ditukarkan kepada bagaimana cara untuk mendapatkan keuntungan bagi mencapai matlamat.

"Fikirkan 'aku cuma perlu RM600,000 bersamaan 10,000 orang memberi aku RM60'.

"Jadi, hasilkan atau sediakan produk yang boleh memberi keuntungan sebanyak RM60 dengan menyasarkan 10,000 orang pembeli," katanya.

Ruang yang luas menjanjikan keselesaan kepada penghuni. -Gambar hiasan

Ruang yang luas menjanjikan keselesaan kepada penghuni. -Gambar hiasan

Mengulas lanjut tentang konsep berkenaan, ujarnya sasaran tersebut boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga lima tahun berbanding bayaran bulanan secara potongan gaji yang mengambil masa 35 tahun.

Malah katanya, ia berdasarkan sasaran jumlah 'pembeli' yang ditetapkan.

"Boleh sasarkan pembeli seramai 27 orang sehari kalau ingin capai matlamat dalam tempoh satu tahun.

"Tapi kalau sasarkan tempoh tiga tahun, tetapkan pembeli seramai sembilan orang dalam tempoh satu hari," tambahnya memperincikan konsep berkenaan.

Beranggapan ramai yang tidak mempercayai teknik tersebut, dia kemudiannya berkongsi pengalaman sendiri yang berjaya mengumpul wang tunai seperti disasarkan.

"Bukan sekadar teori, memang terbukti metod ni... cuma belum beli rumah secara tunai sebab baru capai 75 peratus daripada sasaran.

"Paling menarik kalau dapat rumah kampung atau tanah dan bukan sekadar rumah baru seperti teres serta kondominium," jelasnya lagi.

Pada masa sama, Pelabur Bijak mengingatkan orang ramai supaya tidak menormalisasikan pinjaman perumahan sehingga tempoh 35 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain