suria

Perhati betul-betul warna air kencing, boleh jadi tanda amaran kehadiran penyakit berbahaya

Warna air kencing menunjukkan tahap kesihatan seseorang individu. -Gambar hiasan AI

RAMAI tidak sedar bahawa air kencing bukan sekadar sisa buangan, sebaliknya mampu memberi petunjuk awal terhadap tahap kesihatan tubuh.

Perubahan warna, bau dan kejelasan air kencing boleh mencerminkan tahap hidrasi, pemakanan serta kemungkinan masalah kesihatan yang lebih serius.

Berikut antara tanda amaran penting yang perlu diberi perhatian:

1. Bau manis atau seperti buah

Air kencing yang berbau manis buah atau fruity boleh menjadi petanda paras gula dalam darah yang tinggi.

Keadaan ini berlaku apabila lebihan glukosa dikeluarkan melalui air kencing dan sering dikaitkan dengan diabetes atau hiperglisemia.

Warna air kencing boleh berbeza daripada kuning cair hingga kuning gelap, bergantung kepada tahap hidrasi.

Sekiranya bau ini berterusan, pemeriksaan doktor amat disarankan.

Selain warna, bau air kencing juga boleh menentukan tahap kesihatan. -Gambar hiasan AISelain warna, bau air kencing juga boleh menentukan tahap kesihatan. -Gambar hiasan AI

2. Air kencing gelap

Air kencing berwarna kuning gelap atau oren serta kekerapan membuang air kecil yang berkurangan sering menandakan dehidrasi.

Gejala lain termasuk keletihan, loya dan rasa lesu.

Namun, jika air kencing berwarna oren dan najis kelihatan pucat, ia boleh menandakan masalah salur hempedu dan memerlukan pemeriksaan segera.

3. Air kencing berwarna hijau atau biru

Walaupun jarang berlaku, warna hijau atau biru biasanya berpunca daripada ubat-ubatan tertentu seperti rawatan kemurungan, refluks asid, sakit sendi atau ubat tidur.

Ia juga boleh disebabkan pewarna makanan.

Namun, jika perubahan warna berlaku tanpa pengambilan ubat atau berpanjangan, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi menolak masalah kesihatan lain.

4. Bau ammonia yang kuat

Bau ammonia yang menyengat boleh berpunca daripada dehidrasi atau jangkitan saluran kencing (UTI).

Gejala lain termasuk air kencing keruh atau berdarah, sakit ketika kencing, kerap membuang air kecil, demam atau kekeliruan terutama dalam kalangan warga emas.

UTI lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita dan jika tidak dirawat, boleh menyebabkan komplikasi serius.

5. Air kencing coklat gelap

Warna coklat gelap boleh disebabkan dehidrasi, ubat-ubatan tertentu, makanan seperti kacang fava atau rhubarb, serta penyakit hati.

Senaman berat seperti larian jarak jauh juga boleh menyebabkan keadaan ini sementara waktu.

Namun, jika berlarutan atau disertai gejala lain, pemeriksaan perubatan adalah perlu.

6. Air kencing keruh

Air kencing yang kelihatan seperti susu atau berkabus lazimnya berpunca daripada tahap alkaliniti yang tinggi dan sering tidak berbahaya.

Namun, jika ia berlaku berulang kali, ia mungkin menandakan jangkitan atau masalah kesihatan lain dan perlu dinilai oleh doktor.

7. Air kencing terlalu jernih

Air kencing yang terlalu jernih selalunya menandakan pengambilan air berlebihan.

Walaupun hidrasi penting, pengambilan air secara berlebihan boleh mencairkan elektrolit dalam badan.

Dalam kes tertentu, air kencing jernih juga boleh dikaitkan dengan masalah hati seperti sirosis atau hepatitis virus.

Orang ramai disaran agar tidak mengabaikan perubahan pada air kencing dan segera mendapatkan nasihat doktor jika terdapat tanda luar biasa.

Selain itu, tabiat menahan kencing juga perlu dielakkan kerana boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan buah pinggang dan saluran kencing.

Artikel Lain