suria

Ini perkara anda harus tahu jika derma organ selepas kematian... Rupanya tak boleh terus pindah

Proses pendermaan organ melibatkan prosedur yang panjang. -Gambar hiasan AI

RAMAI beranggapan proses pendermaan organ selepas kematian boleh dilakukan dengan cepat, namun hakikatnya ia melibatkan prosedur panjang, terancang dan membabitkan pelbagai pakar dari beberapa hospital.

Perkara itu dijelaskan seorang pegawai perubatan yang  mengendalikan unit perolehan organ, susulan pertanyaan netizen mengenai tempoh pengeluaran organ daripada jasad penderma.

Menurutnya, proses bergantung kepada jenis organ atau tisu yang dipersetujui keluarga untuk didermakan, serta pengesahan kematian penderma, khususnya bagi kes kematian otak (brain death).

“Untuk kes mati otak, dua ujian pengesahan akan dibuat. Contohnya ujian pertama sekitar pukul 10 pagi dan ujian kedua 4 petang. 

"Selepas ujian kedua selesai, barulah masa kematian direkodkan secara rasmi,” jelasnya.

Kebiasaannya, proses pengeluaran organ bermula sekitar 3 pagi di hospital tempat penderma meninggal dunia. -Gambar hiasan AIProses pengeluaran organ bermula sekitar 3 pagi di hospital tempat penderma meninggal dunia. -Gambar hiasan AI

Selepas kematian disahkan, Pusat Transplan Negara (NTRC) akan mengaktifkan pasukan perubatan dari Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Darah Negara.

"Ia juga turut disertai pasukan pakar mata, tulang dan kulit.

Setiap organ akan dinilai terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai untuk dipindahkan sebelum penerima dihubungi dan diminta hadir ke hospital," katanya. 

Katanya, proses itu perlu dilakukan dengan teliti kerana organ hanya mampu bertahan beberapa jam di luar tubuh manusia.

"Kebiasaannya, proses pengeluaran organ bermula sekitar 3 pagi di hospital tempat penderma meninggal dunia. 

"Jantung dan paru-paru akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum segera dibawa ke IJN dengan iringan kecemasan untuk proses pemindahan," katanya.

Selepas itu hati akan dibawa ke Hospital Selayang, diikuti buah pinggang yang dihantar ke Hospital Selayang dan HKL.

"Setelah organ utama selesai, proses diteruskan dengan pendermaan tisu seperti mata dan tulang.

“Jika semua tulang boleh didermakan, proses ini boleh mengambil masa sehingga tiga atau empat jam. 

"Biasanya, jenazah akan dipulangkan kepada keluarga menjelang waktu Zohor keesokan harinya,” katanya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan pendermaan tisu sahaja mengambil masa lebih singkat kerana tisu mampu bertahan lebih lama di luar tubuh manusia. 

Kornea, misalnya, boleh disimpan sehingga dua minggu manakala tulang boleh disimpan selama bertahun-tahun.

Artikel Lain