suria

Nikah influencer, jodoh tak panjang... Isteri ada hak ke atas 'content' dibuat bersama, boleh tuntut harta sepencarian

Sumbangan isteri seperti menemani sesi siaran langsung menjadi bukti kukuh tuntutan harta sepencarian. -Gambar hiasan AI

WANITA yang mempunyai suami bergelar selebriti, pempengaruh atau pencipta kandungan (content creator) perlu mengetahui hak mereka jika berlaku penceraian.

Apatah lagi jika video yang dihasilkan mendapat jutaan tontonan, 'engagement' tinggi selain bayaran 'kencang' untuk tawaran menjadi model atau duta jenama besar.

Menurut Ahli Pertubuhan Perunding dan Pengamal Faraid Malaysia, Fadzli Rozali, jika suami yang dikenali ramai menjana pendapatan melalui media sosial, isteri berhak menuntut bahagian daripada harta sepencarian.

“Dalam konteks undang-undang syariah, harta sepencarian merangkumi apa-apa harta, pendapatan atau perniagaan yang terhasil daripada usaha bersama sepanjang tempoh perkahwinan. 

"Jika kandungan dihasilkan ketika masih sah sebagai suami isteri, melibatkan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung, maka isteri memang ada hak menuntut,” katanya.

Isteri juga mempunyai hak terhadap konten yang dihasilkan suami. -Gambar hiasan AIIsteri juga mempunyai hak terhadap kandungan yang dihasilkan suami. -Gambar hiasan AI

Fadzli menekankan, sumbangan isteri seperti memberi idea konten, membantu membuat suntingan, menemaninya ketika sesi siaran langsung atau muncul dalam video, menjadi bukti kukuh dalam tuntutan.

Beliau turut merujuk kes Boto lawan Taha (1983) di Kuala Terengganu, di mana mahkamah memihak kepada isteri kerana terbukti sumbangan tenaga dan usaha isteri membantu memajukan perniagaan suami.

"Sebab itu untuk pasangan suami isteri yang buat bisnes bersama, bangunkan kandungan bersama, atau jana pendapatan hasil usaha berdua, jangan tunggu sampai berlaku perceraian baru nak bincang soal hak.

"Buatlah deklarasi harta sepencarian lebih awal. Deklarasi ni boleh dibuat sebelum wujudnya konflik seperti perceraian, poligami atau kematian pasangan," katanya.

Jelasnya, walaupun keputusan akhir tetap di tangan mahkamah, sekurang-kurangnya sudah ada perjanjian bertulis yang jelas tentang hak dan sumbangan masing-masing.

Artikel Lain