suria

Bayi berat lebih 3.5kg dilahirkan tanpa koyakan, jahitan... Wanita kongsi teknik pernafasan, urutan sebelum bersalin

Isteri memerlukan sokongan dan kata-kata semangat daripada suami sebelum bersalin. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita berkongsi kepentingan sokongan suami sepanjang kehamilan, khususnya dalam menguasai teknik pernafasan yang disifatkan sangat membantu ketika proses bersalin.

Menurutnya, teknik pernafasan 'deep breathing' bukan sahaja penting ketika meneran semasa kelahiran, malah membantu ibu mengawal kesakitan ketika menghadapi kontraksi, prosedur pemeriksaan dalaman, 'pap smear' serta pemasangan branula.

“Suami kena ambil tahu dan ajar isteri teknik pernafasan ini. Bukan setakat masa bersalin, waktu kena seluk, cucuk branula pun sangat membantu untuk kurangkan rasa sakit,” katanya.

Suami perlu memberi perhatian yang lebih kepada isteri yang sarat hamil. -Gambar hiasan AI

Suami perlu memberi perhatian yang lebih kepada isteri yang hamil. -Gambar hiasan AI

Wanita itu turut berkongsi langkah mudah teknik deep breathing yang boleh diamalkan ibu hamil, iaitu:

- Cari posisi selesa seperti duduk, baring separa tegak atau bersandar

- Tarik nafas perlahan melalui hidung sambil mengira satu hingga empat

- Tahan nafas selama satu hingga dua saat

- Hembus perlahan melalui mulut sambil mengira satu hingga enam

- Ulang beberapa kali sehingga badan berasa lebih tenang

- Ketika kontraksi, fokus pada hembusan nafas yang panjang

- Di antara kontraksi, gunakan pernafasan untuk mengumpul tenaga

Tambah wanita itu lagi, teknik ini membantu ibu hamil untuk kekal relaks dan fokus sepanjang proses kelahiran.

Selain pernafasan, wanita itu turut berkongsi pengalamannya melakukan 'perineal massage' bermula awal trimester ketiga, yang disifatkan banyak membantu proses bersalin.

“Alhamdulillah, saya bersalin tanpa koyakan atau jahitan walaupun berat bayi 3.57 kilogram,” katanya.

'Perineal massage' ialah urutan lembut pada kawasan antara faraj dan dubur yang bertujuan melonggarkan tisu perineum serta membiasakan kawasan tersebut dengan regangan sebelum kelahiran.

Antara manfaat yang dikongsikan termasuk dapat mengurangkan risiko koyakan semasa bersalin dan mengurangkan kesakitan selepas proses kelahiran.

Selain itu, ia juga membantu mempercepatkan proses pemulihan serta mampu membuatkan ibu lebih tenang dan yakin.

Tambahnya, di penghujung kehamilan, suami boleh membantu melakukan urutan tersebut bagi meringankan keletihan isteri.

Dalam perkongsian sama, dia turut menasihatkan wanita supaya mengambil berat soal kebersihan dan kesihatan intim, termasuk melakukan 'sitz bath' sekiranya mengalami keputihan atau kegatalan, sama ada ketika hamil atau tidak.

Katanya, amalan tersebut membantu mengurangkan ketidakselesaan serta bau yang tidak menyenangkan.

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia