RAMAI beranggapan batu hempedu terjadi disebabkan tahap kolestrol dalam badan seseorang tinggi.
Memberi penjelasan mengenainya, pengamal perubatan Azril Nizam Jamaludin berkata, cecair hempedu terhasil daripada kombinasi garam, kolesterol, phospholipids, bilirubin dan protein.
"Dalam pemahaman biasa, apabila tinggi kolesterol, maka cecair hempedu akan mengeras dalam pundi dan menjadi batu. Tanggapan ini adalah salah.
"Antara tugasan cecair hempedu (bile fluids) adalah untuk bergabung dengan lemak sihat dalam makanan dan memudahkan penyerapannya dalam usus kecil dan besar, bagi melancarkan pergerakan najis.
"Tugasan paling pentingnya adalah untuk menghadam lemak, jadi mereka yang kurang makan lemak sihat, cecair hempedu tidak akan dikeluarkan dari 'beg' hempedu," jelasnya yang merupakan seorang paramedik.
Menurut Azril Nizam, mereka yang mengamalkan pengambilan tinggi karbohidrat dan diet rendah lemak akan menyebabkan cecair hempedu tidak keluar dari pundi hempedu seterusya mengeras.
"Hari-hari makan nasi banyak tapi lauk 'ciput', roti, biskut, bomboloni, kek chiffon, ramen viral, air bergula jadi sebahagian gaya hidup.
"Sebagai manusia, kita sangat memerlukan lemak sihat dan ia perlu datang dari punca yang baik.
"Lemak dari haiwan contoh macam lemak lembu, kulit ayam, telur ayam, ghee, lemak ikan, tallow, lard (tak Halal, hanya untuk non-muslim), mentega, susu kadang-kadang.
"Dari tumbuhan pula, contoh macam minyak kelapa, minyak kelapa sawit, minyak zaitun, lemak buah seperti avocado," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, amalan makan makanan yang tidak betul akan mengakibatkan masalah batu hempedu atau bile stone formation.
Malah katanya, amalan gaya hidup rendah lemak akan mengundang masalah kesihatan.
"Seronok sangat cari makanan rendah lemak, konon lebih 'menyihatkan', namun sebenarnya tidak.
"Oleh itu, jangan takut lemak kerana lemak sihat tidak menggemukkan sebaliknya takutlah dengan makanan tinggi karbohidrat dan fruktosa," jelasnya.


