suria
mStar - Urban.Versatil

Lelaki dipenjara 14 minggu, mengaku salah sapu daging khinzir di lantai koridor flat gara-gara anak jiran bising

Walaupun berlainan bangsa, setiap individu sewajarnya menghormati jiran tetangga. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki warga Singapura berusia 36 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 minggu pada Rabu (11 Februari) selepas didapati bersalah menyapu daging babi di sepanjang koridor flat tempat tinggalnya.

Tertuduh, Vikneswaran V Moganaval, mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan yang menyinggung agama serta satu lagi pertuduhan menggunakan bahasa kesat terhadap penjawat awam.

Menurut fakta kes, Vikneswaran tinggal bersebelahan sebuah keluarga Melayu-Muslim yang mempunyai tiga anak kecil. 

Dia didakwa berasa tertekan dengan bunyi bising dua anak jirannya an berusia empat dan tujuh tahun yang sering bermain di koridor.

Pada 20 Oktober 2025, dia yang berang dengan bunyi bising itu mendakwa terpaksa membatalkan satu majlis di rumahnya.

Sekitar pukul 8.54 malam, tertuduh bertindak menuangkan sat tin daging babi di koridor sebelum menyapunya di lantai. 

Dia mengaku berbuat demikian kerana mengetahui keluarga jirannya beragama Islam dan agama tersebut melarang pengambilan serta sentuhan dengan daging babi.

Mahkamah diberitahu, tindakannya bertujuan mewujudkan 'penghadang fizikal' supaya kanak-kanak tidak lagi bermain di kawasan itu.

Tidak lama kemudian, dia sekali lagi menghubungi polis dan memaklumkan hasrat untuk membuang satu lagi tin daging babi, namun diberi amaran supaya tidak meneruskan tindakan tersebut. 

Dia juga enggan membersihkan kotoran berkenaan walaupun diarahkan polis.

Mangsa dilaporkan berasa marah dan menganggap tindakan itu sebagai tidak menghormati agama keluarganya.

Vikneswaran ditahan pada 21 Oktober 2025 dan didakwa dua hari kemudian. 

Dia turut direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, namun kemudiannya meminta ikat jamin dibatalkan dan kekal direman.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 14 minggu dengan menyifatkan tindakannya sebagai tidak matang dan memalukan.

Dalam rayuannya, Vikneswaran memohon maaf serta menyatakan kekesalan atas perbuatannya.

Dia mendakwa telah mengikuti program pemulihan untuk mengawal emosi dan kini menyambung pengajian diploma sambil bekerja. -Agensi

Artikel Lain