suria

Pencipta kandungan 'berlakon' mati ketika dirogol, larikan diri semasa suspek nak buang 'mayat'

Rogol adalah jenayah dan boleh dikenakan hukuman berat. -Gambar hiasan

DUA lelaki ditahan polis selepas disyaki mencuri dan memperkosa seorang content creator (pencipta kandungan) wanita dalam kejadian Jumaat lalu.

Menurut pihak berkuasa, suspek pada awalnya berpura-pura mahu membaiki saluran air di bilik mangsa sebelum dibenarkan masuk ke rumah sewa berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Lampung, Indonesia apabila salah seorang suspek yang pernah bekerja di premis itu menggunakan peluang berkenaan untuk memperdaya mangsa.

Ketua Polis Mesuji, AKBP Muhammad Firdaus berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai sudah merancang perbuatan tersebut dengan menggunakan alasan membaiki paip sebagai taktik.

Mangsa kemudian dikunci di dalam bilik sebelum dipaksa berbaring, dicekik di leher dan mulutnya disumbat dengan sehelai pakaian bagi menghalangnya menjerit meminta pertolongan.

Dalam keadaan terdesak, mangsa berpura-pura tidak sedarkan diri sehingga suspek menyangka dia telah meninggal dunia lalu cuba membawa jasadnya untuk dibuang.

Namun ketika dalam perjalanan, mangsa menyedari ada orang awam melintas lalu bertindak menjerit meminta bantuan.

Suspek yang panik melarikan diri dengan membawa telefon bimbit serta motosikal milik mangsa.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan dua hari selepas kejadian, kedua-dua suspek berjaya diberkas pihak berkuasa pada Ahad. -Agensi

 

Artikel Lain