SATU tragedi menyayat hati menggemparkan penduduk sebuah kampung apabila lima sekeluarga ditemukan mati di dalam rumah mereka pada pagi Selasa.Kejadian yang berlaku di sebuah kampung di Mathura, Uttar Pradesh, India itu terbongkar selepas jiran-jiran memecahkan pintu rumah kerana keluarga tersebut tidak dilihat seperti kebiasaan. Mangsa dikenal pasti sebagai Manish Kumar, 35, isterinya Seema, sekitar 32 tahun, serta tiga anak mereka yang masing-masing berusia lapan, lima dan tiga tahun.Menurut polis, siasatan awal mendapati keluarga itu dipercayai minum racun yang dicampur dalam susu pada malam Isnin, susulan penemuan beberapa gelas susu berhampiran mayat. Namun hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian yang berbeza.Penguasa Polis Kanan, Shlok Kumar berkata, Manish disahkan meninggal dunia akibat renjatan elektrik, isterinya akibat digantung, manakala tiga kanak-kanak itu meninggal dunia akibat dicekik.Polis memaklumkan, mereka menerima laporan selepas penduduk kampung berasa tidak sedap hati apabila anak-anak pasangan berkenaan tidak kelihatan bermain seperti biasa di luar rumah. Siasatan lanjut turut menemui satu rakaman video yang dipercayai dirakam oleh Manish sebelum kematiannya. Dalam video tersebut, dia menyatakan bahawa mereka mengambil keputusan itu atas kehendak sendiri dan tidak menyalahkan sesiapa.Manish juga menyebut bahawa dia baru sahaja menjual sebidang tanah dan menegaskan bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan keputusannya mengakhiri riwayat. -Agensi