KEBANYAKAN pengguna lebih gemar memilih penyaman udara jenis inverter kerana ia mampu memberi penjimatan tenaga dan lebih efisen.
Fungsi utamanya sebagai pengawal kelajuan motor pemampat (compressor) mengikut keperluan suhu.
Bagaimanapun, kesilapan dalam penggunaan dan pengendaliannya juga boleh memberi kesan kepada 'poket' anda.
Bagi yang menggunakan penyaman udara inverter, tiga perkara ini perlu dititik beratkan seperti perkongsian Midea Malaysia di laman Facebook.
1. Kerap tutup dan hidupkan aircond
Inverter hanya akan berfungsi sepenuhnya selepas suatu tempoh yang panjang.
Kebiasaannya selepas tiga hingga empat jam penggunaan.
Jika penyaman udara dipasang untuk tempoh 30 minit dan terus dimatikan, lebih baik anda menggunakan non-inverter.
2. Aircond bukan kipas
Ramai yang menggunakan penyaman udara seperti kipas, tutup apabila berasa sejuk dan hidupkan semasa panas.
Untuk pengetahuan anda, aircond menggunakan banyak elektrik semasa ia mula dihidupkan.
Oleh itu, janganlah sentiasa hidup dan matikannya kerana tenaga elektrik yang banyak akan meningkatkan bil bulanan anda!
3. Pasang aircond bersama kipas
Ramai yang letakkan suhu aircond pada 23 darjah selsius sambil memasang kipas sehingga ke pagi.
Sebaiknya, apabila sampai di rumah, buka aircond pada suhu terendah iaitu 16 darjah selsius dan kipas yang paling kuat, kemudian biarkan bilik selama lebih kurang 30 minit hingga 45 minit.
Akhir sekali, kekalkan suhu 27 darjah selsius manakala kipas pula paling perlahan.
Untuk pengetahuan semua, apabila menggunaka aircond, waktu paling banyak guna elektrik ialah semasa baru menghidupkannya kerana kompresor memerlukan banyak tenaga untuk bergerak sama seperti kayuhan basikal.
Oleh itu, sekiranya anda membuat tetapan yang dicadangkan, cut off time untuk kompresor akan dipercepatkan dan seterusnya interval untuk kompresor mula bekerja balik lebih lama.


