APABILA membincangkan topik kesihatan wanita, memang ada banyak mitos dan salah faham yang masih berlegar dalam masyarakat sehingga kini.
Salah satunya berkaitan bahagian intim wanita selepas berkahwin dan melahirkan anak yang dikatakan mempunyai perubahan ketara.
Hakikatnya, tubuh wanita khususnya otot di kawasan kemaluan mempunyai kemampuan semula jadi untuk kembali pulih seperti asal.
Mengulas mengenainya, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rawatan Al Farhain Medical Centre Sdn Bhd, Dr Afif Mohd Ridzwan berkata, faraj lesu atau faraj longgar bukanlah kerana seseorang wanita itu kerap melakukan seks atau bersetubuh.
Sebaliknya dakwaan yang sering berlegar-legar dalam masyarakat sejak dahulu itu adalah mitos semata-mata.
Berkongsi mengenainya, Dr Afif berkata, faraj atau vagina wanita terdiri daripada otot-otot ataupun tisu lembut di kawasan kemaluan.

Masalah vagina sering dialami wanita yang baru melahirkan anak. -Gambar hiasan
"Otot ini boleh berkembang dan mengecut kembali tanpa melakukan sebarang pembedahan.
"Ia diumpamakan seperti getah, boleh merenggang dan kembali semula pada normal.
"Contohnya mereka yang sudah melahirkan bayi seberat tiga hingga 3.5 kilogram, selepas habis pantang, faraj boleh kembali semula kepada bentuk asal," jelasnya di laman TikTok.
Namun ujar beliau, keadaan vagina mungkin tidak dapat kembali kepada bentuk asal sekiranya terdapat koyakan teruk atau jahitan yang dilakukan tidak sempurna.
"Jika bahagian vagina itu dijahit dengan baik, ia tidak memberi masalah kepada faraj mahupun fungsinya," tambah beliau.
Menurut Dr Afif, mereka yang mengalami masalah ini boleh melakukan senaman lantai pelvis atau kegel.
Malah, amalan melakukan senaman itu dapat membantu mengetatkan bahagian lantai vagina.


