suria

Tak jadi membebel, wanita kongsi rahsia suami lembutkan hati ketika sedang ‘moody’ - “Terus rasa sejuk tengok muka dia”

Pelbagai cara boleh dilakukan suami dan isteri bagi mengharmonikan rumah tangga. -Gambar hiasan

TULAR satu hantaran seorang lelaki yang merungut tentang sikap dan layanan isterinya meskipun segala perbelanjaan rumah ditanggung sepenuhnya.

"Susah juga jadi provider, kita kerja penat ingatkan balik rumah nak orang sambut... ini tidak, dah tahu suami balik rumah pintu pun tak bukakan.

"Tak sempat nak letak punggung dah kena marah, aku tahu kau jadi suri rumah letih uruskan anak, makan, pakai tapi seharian tak jumpa suami, tak kanlah nak marah?

"Orang perempuan beginilah, ingat letih dengan mood dia je, ingat orang lelaki tak ada perasaan," luahnya.

Rungutan itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya khususnya golongan wanita.

Turut sama berkongsi hantaran tersebut, seorang pelayar Threads, Anis Azuwa yang tampil dengan tip dan kaedah yang dilakukan suaminya.

Mengakui pernah bersikap sama seperti isteri dalam penceritaan pelayar lelaki terbabit, wanita ini berkata dia kemudian berubah 100 peratus selepas suaminya mula 'berfungsi'.

Setiap individu mengimpikan kehidupan yang harmoni bersama keluarganya. -Gambar hiasan

Setiap individu mengimpikan kehidupan yang harmoni bersama keluarga. -Gambar hiasan

"Suami tolong je jaga anak selepas mandi dan makan tapi kepenatan saya tu macam tak habis-habis, lenguh badan tak berurut buat mulut jadi lancang membebel tak berhenti.

"Anak-anak memang takut dengan saya, suatu hari tu saya tengah meluap-luap marah tunggu dia balik tapi dia masuk je rumah terus saya rasa sejuk tengok muka dia," kongsinya.

Menurut Anis Azuwa, situasi seperti itu dialaminya selama lebih sebulan.

Malah sikapnya yang gemar membebel dan marah bertukar menjadi sebaliknya sehingga dia rela hati membenarkan suami keluar bermain badminton.

Perubahan dirinya dan suami membuatkan dia tampil berkongsi beberapa tip dengan pelayar media sosial.

1. Doa

Menurut Anis Azuwa, suaminya akan berdoa supaya Allah lembutkan hati isterinya terlebih dahulu sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Perkara sama dilakukan suaminya selepas solat.

Urusan rumah tangga turut dilakukan oleh para suami. -Gambar hiasan

Urusan rumah tangga turut dilakukan oleh para suami. -Gambar hiasan

2. Bantu buat kerja rumah

Perubahan yang ketara yang berlaku dalam diri Anis Azuwa membuatkan suaminya mula membantu menyapu rumah selepas pulang dari kerja.

Malah anaknya turut diajak bersama-sama mengemas barang permainan yang berselerak.

"Dia nampak isteri dia kurang sikit bebel, kemudian dia perlahan-lahan mula kemas meja makan selepas makan tengah hari dan malam bersama.

"Dia basuh baju pagi-pagi dan nanti saya jemur. Petang dia angkat, saya pula lipat," kongsinya lagi.

3. Ajar anak-anak membantu

Perkara paling mengujakan apabila suaminya turut mengajar anak-anak untuk sama membantu melakukan kerja rumah.

Tingkah laku itu jelas dilihat semasa suaminya perlu melakukan kerja di luar kawasan atau terlibat dengan kursus.

Anak-anak Anis Azuwa akan membantu melakukan kerja rumah seperti lap meja makan, mengemas dan menyimpan barang permainan.

 

Artikel Lain