PENGGUNAAN fluorida untuk penjagaan gigi adalah sangat penting dan telah diamalkan sejak sekian lama.
Bagaimanapun, Akademi Perubatan Mulut dan Toksikologi Antarabangsa mendedahkan, fluorida yang berlebihan boleh mengakibatkan fluorosis gigi.
Situasi itu berlaku apabila enamel gigi mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan yang mana gigi berubah warna secara kekal.
Selain itu, terdapat juga corak semburan putih atau coklat pada bahagian hadapan gigi yang mengakibatkan gigi mudah rapuh dan pecah.
"Fluorosis gigi diakui sebagai tanda ketoksikan fluorida yang pertama.
"Ini juga merupakan isyarat amaran risiko kesihatan manusia yang berkaitan dengan pendedahan fluorida," jelasnya.

Saiz ubat gigi mengikut umur kanak-kanak. -Foto Dr Alyssa Azlan
Bagi mengelakkan gigi anak-anak anda rosak disebabkan fluorosis, cuba ikuti nasihat penggunaan ubat gigi fluorida yang dikongsikan Dr Alyssa Azlan di TikTok.
Menurutnya, bagi kanak-kanak yang berusia bawah dua tahun, ibu bapa perlu memberikan ubat gigi berukuran sebutir nasi.
Manakala bagi kanak-kanak yang berusia tiga hingga sembilan tahun, ubat gigi haruslah sebesar kacang pea hijau sahaja.
Namun jika di usia tersebut mereka masih belum dapat meludah keluar ubat gigi, sebaiknya letakkan pada saiz sebutir nasi.


