SEMANGKUK bijirin berwarna-warni sering kali dijadikan pilihan utama dalam sarapan pagi kerana pantas dan mudah disediakan oleh sesiapa sahaja.
Ada yang menjadikannya sebagai rutin sarapan harian anak-anak kononnya mengandungi pelbagai zat seperti terkandung di ruangan fakta nutrisi paket.
Namun sebenarnya, kebanyakan makanan segera berbijirin itu memberi kesan buruk kepada pengamalnya.
Perkara itu dibongkarkan pakar kesihatan otak selepas melakukan kajian mengenai amalan pemakanannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kesihatan kognitif Cosmic Nootropic, Lev Fomchenkoc, memulakan hari dengan bijirin sarat gula boleh mencetuskan kesan domino yang merosakkan keupayaan mental.
"Apa yang anda makan dalam sejam pertama selepas bangun tidur secara langsung mempengaruhi tahap kejelasan mental untuk beberapa jam seterusnya.

Kanak-kanak gemar menikmati bijirin yang dicampur susu dan buah-buahan.
"Bijirin bergula tinggi mewujudkan ‘rollercoaster metabolik’ manakala otak anda tidak direka untuk menampungnya," jelasnya.
Ramai sedia maklum bahawa makanan segera bijirin boleh menyebabkan lonjakan glukosa mendadak yang memberi tenaga segera.
Namun apabila paras gula darah menjunam, ia boleh membuatkan anda keliru, mudah terganggu malah terlupa perkara kecil.
"Bayangkan otak anda seperti enjin berprestasi tinggi, ia memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan konsisten untuk berfungsi dengan cekap.
"Apabila anda ‘membanjiri’ otak dengan gula ringkas, ia umpama memecut enjin terlalu kuat dan cepat.
"Dalam jangka panjang, turun naik gula yang berulang boleh menyebabkan keradangan pada otak, mengganggu pembentukan memori dan berpotensi mempercepatkan kemerosotan mental," ujarnya sambil menghuraikan kesan pengambilan jangka panjang bijirin.
Otak menggunakan kira-kira 20 peratus daripada tenaga harian dan selepas semalaman tidur, ia sangat memerlukan ‘bahan api’.
Justeru, sarapan adalah peluang untuk menetapkan corak gula darah yang seimbang.
Makanan segera seperti bijirin mempunyai kandungan gula yang tinggi. -Gambar hiasan
"Kalau anda mulakan dengan gula, badan akan ‘diprogramkan’ untuk mengidam gula setiap beberapa jam.
"Ia mewujudkan kitaran tenaga naik-turun yang memaksa otak kekal dalam mod bertahan, bukannya mod belajar.
Kejatuhan tenaga di pertengahan pagi selalunya berlaku pada waktu paling kritikal iaitu ketika anda memerlukan tumpuan maksimum untuk produktiviti.
Daripada memilih bijirin, Fomchenkoc mencadangkan alternatif yang lebih mesra otak.
1. Yogurt Greek dengan beri dan kacang
Campuran hidangan ini kaya dengan protein, antioksidan dan lemak sihat untuk tenaga berpanjangan.
2. Roti gandum penuh dengan avocado dan telur
Telur membekalkan kolina penting untuk pembentukan memori, manakala avocado membantu penyerapan vitamin.

Oat antara hidangan sesuai yang diambil pada waktu pagi.
3. Oat potong kasar bersama serbuk protein dan kayu manis
Apabila dihadam secara perlahan-lahan, ia dapat membantu dalam menstabilkan tenaga.
Protein dan kayu manis pula meningkatkan fungsi otak.
4. Telur dadar sayuran dengan bayam dan keju
Hidangan ini dipenuhi dengan vitamin B, protein dan antioksidan hampir tanpa gula.
Setiap pilihan ini mampu mengekalkan gula darah stabil selama tiga hingga empat jam seterusnya memberikan otak tenaga konsisten untuk prestasi optimum.
"Kemerosotan memori bukanlah sesuatu yang mesti berlaku. Ia sebahagian besarnya boleh dicegah dengan pemilihan nutrisi yang tepat,” kata Fomchenkoc. -Agensi


