suria

Ibu ‘gegar’ wad kecemasan pukul 4 pagi! Menyesal beri anak 10 botol susu formula sehari, ‘overdose’ hingga alami radang usus

Susu formula yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan pada kanak-kanak. -Gambar hiasan

SUSU formula sering menjadi pilihan ibu bapa sebagai sumber nutrisi tambahan untuk anak-anak kecil. 

Ada yang beranggapan kanak-kanak akan kenyang apabila diberikan susu semata-mata kerana terdapat pelbagai jenis vitamin dan mineral di dalamnya.

Namun hakikatnya, kanak-kanak yang berusia lebih dua tahun perlu diberikan makanan tambahan bagi menyokong tumbesaran mereka.

Menerusi hantaran tular seorang wanita dikenali sebagai Anis Amiza, dia berkongsi punca anaknya mengalami radang usus disebabkan kebergantungan pada susu formula.

"Terjadi pada diri sendiri dan suami barulah rasa menyesal, anak kesayangan sakit perut disebabkan banyak minum susu.

"Lebih kurang 10 botol sehari, sebanyak 260 mililiter minum sekelip mata je habis licin, makan pun banyak.

"Hari pertama dan kedua tunjuk simptom cirit birit serta mula muntah. Tapi yang paling teruk pada hari ketiga... dia berak dalam keadaan cangkung sambil tahan sakit," kongsinya di Facebook.

Susu formula sering diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan nutrisi. -Gambar hiasan

Susu formula sering diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan nutrisi. -Gambar hiasan

Situasi lebih membimbangkan pada hari keempat apabila anaknya mula berak berdarah.

Susulan itu dia bergegas ke unit kecemasan hospital pada pukul 4 pagi.

"Sehari berak lebih 20 kali, dinding usus keradangan dan luka disebabkan kerap berak.

"Paling sedih apabila anak berak berdarah dari pukul 4 pagi sampai malam, 52 keping lampin licin.

"Malam tu, doktor pakar sahkan yang anak terlebih susu formula, macam tak logik tapi itulah realitinya," luahnya kesal.

Bimbang situasi sama berlaku pada kanak-kanak lain, dia menitipkan nasihat supaya para ibu mengurangkan pemberian susu formula pada anak yang berusia dua tahun ke atas.

Malah kata wanita itu, dalam tempoh tiga minggu sebelum dimasukkan ke hospital, anaknya selalu mengadu sakit perut setiap kali selepas minum susu.

"Kalau anak-anak mengadu sakit perut selepas minum susu, kurangkanlah susu dan cubalah letak air kosong dalam botol susu.

"Limitkan dengan minum dua gelas sehari atau beri susu banyak kali tapi dalam kuantiti yang sedikit," tambahnya.

Artikel Lain