suria
mStar - Urban.Versatil

Remaja curi pistol polis mengamuk di sebuah sekolah menengah... Tembak pengetua hingga temui ajal

Suspek berjaya ditangkap pihak polis dan motif serangan masih dalam siasatan. - Foto AP

SEORANG pengetua maut manakala dua pelajar cedera selepas remaja lelaki berusia 17 tahun mengamuk dan melepaskan tembakan secara rambang di sebuah sekolah menengah, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira lewat petang itu, suspek dipercayai mencuri sepucuk pistol daripada anggota polis sebelum menyerbu masuk ke kawasan sekolah.

Suspek turut menahan beberapa individu sebagai tebusan dan mencetuskan ketegangan selama dua jam.

Kejadian berlaku di Patong Prathan Kiriwat School di daerah Hat Yai, Thailand.

Menurut pihak polis, sebelum insiden tembakan itu suspek ada mencetuskan kekecohan dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Bagaimanapun dia bertindak menyerang anggota polis dan melarikan senjata api sebelum memasuki kawasan sekolah.

Menurut pemerintah wilayah menerusi satu kenyataan, polis terpaksa melepaskan tembakan balas sehingga menyebabkan suspek cedera sebelum berjaya diberkas.

Pengetua sekolah dilaporkan meninggal dunia di hospital pada awal pagi Khamis akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Thailand memaklumkan seorang pelajar cedera akibat daripada terkena tembakan.

Manakala seorang lagi pelajar mengalami kecederaan selepas terjun dari bangunan ketika cuba menyelamatkan diri.

Difahamkan suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta masalah kesihatan mental.

Motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain