suria

Tiada unsur mistik, sihir pemisah! Pakar hipnoterapi dedah punca wanita sukar hamil, rupanya akibat luka batin

Wanita yang mengalami tekanan emosi sukar mendapatkan cahaya mata. -Gambar hiasan AI

PERCAYA atau tidak, ramai wanita yang luaran kelihatan sihat namun sebenarnya sedang bergelut dengan masalah dalaman seperti kesukaran hamil, fibroid, mahupun gangguan hormon yang kronik.

Mengulas mengenai isu tersebut, terapis perkahwinan dan kerjaya dikenali sebagai Normawati menjelaskan bahawa kesihatan fizikal wanita sebenarnya sangat berkait rapat dengan kestabilan emosi.

Menurutnya, wanita yang sering memendam kemarahan, hidup dalam trauma hubungan, atau dihantui rasa tidak selamat (insecure) akan menyebabkan sistem saraf mereka memasuki 'mod survival' secara automatik.

"Apabila ini berlaku, lama-kelamaan hormon stres iaitu kortisol dan adrenalin menjadi tinggi sehingga menjejaskan kestabilan hormon kewanitaan.

"Ini adalah ilmu neurologi, bukannya gangguan mistik atau sihir pemisah," tegasnya menerusi akaun TikTok @cikgunormawatiterapijiwa.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, pakar hipnoterapi bertauliah ini menyatakan, rahim merupakan organ yang sangat sensitif terhadap emosi kerana ia adalah simbol keselamatan, penerimaan dan kasih sayang.

Gangguan emosi yang dialami wanita akan menyebabkan trauma sehingga mengakibatkan masalah kesihatan dalaman. -Gambar hiasan AI

Gangguan emosi yang dialami wanita akan menyebabkan trauma sehingga mengakibatkan masalah kesihatan dalaman. -Gambar hiasan AI

Oleh itu katanya, perasaan takut ditolak, tidak dihargai atau pernah dikhianati boleh mencetuskan rasa rendah diri yang mendalam.

Jelasnya, trauma yang dialami itu akhirnya membuatkan hormon menjadi tidak produktif sekali gus menyukarkan proses kehamilan.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan buat golongan suami dan ibu mentua supaya tidak menuding jari kepada wanita sekiranya mereka lambat menimang cahaya mata.

"Mungkin kita nampak wanita itu tenang, sabar, dan banyak berdiam diri, tetapi hakikatnya dalaman mereka sudah 'rosak' akibat terlalu banyak menyimpan memori luka serta ketakutan yang tidak terluah.

"Emosi yang tidak diproses inilah yang mengundang stres dalaman.

"Badan mereka bukan rosak kerana lemah, tetapi kerana sudah terlalu lama berpura-pura kuat dalam diam," tambahnya lagi sambil menyifatkan rahim sebagai 'rumah emosi' wanita yang perlu dijaga rapi.

Artikel Lain