suria
mStar - Urban.Versatil

Pelari maraton semput naik tangga, badan berpeluh sejuk waktu Maghrib... Doktor sahkan tibi, terpaksa ambil ubat 180 hari tanpa henti

Setiap individu perlu ambil serius pada perubahan tubuh badan. -Gambar hiasan AI

KEWUJUDAN satu kluster kes jangkitan tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi, Johor pada 25 Januari lalu mengundang rasa bimbang dan takut dalam kalangan penduduk setempat.

Situasi lebih meruncing apabila jangkitan terus berlaku dalam kalangan murid sekolah dengan kes terbaharu direkodkan di Pontian pada 9 Februari.

Susulan pengesanan tersebut, masyarakat perlu mengetahui tanda-tanda awal sebelum keadaan menjadi lebih kronik.

Menurut laman Facebook Public Health Malaysia, virus tibi masih wujud dan boleh menjangkiti melalui udara apabila kontak rapat berada dalam ruang yang sama.

"Sekiranya anda tinggal serumah, bekerja rapat, atau selalu berkongsi ruang tertutup dengan individu yang disyaki atau disahkan tibi, jangan tunggu sampai batuk yang dialami menjadi lama.

"Segeralah buat saringan kerana lagi cepat dikesan, lagi cepat rawatan boleh dimulakan dan seterusnya mempercepatkan pemutusan rantaian jangkitan," jelas pengendali laman Facebook itu.

Justeru bagi anda yang sedang mengalaminya, jangan rasa panik dan takut kerana penyakit tibi boleh dirawat dan dipulihkan.

Virus tibi boleh menjangkiti kanak-kanak dan bayi. -Gambar hiasan AI

Virus tibi boleh menjangkiti kanak-kanak dan bayi. -Gambar hiasan AI

Perkara tersebut dikongsikan salah seorang penghidap tibi yang dikenali sebagai Azrin di laman Thread.

"Saya tibi survivor sembilan tahun lepas, jangan ingat ia adalah batuk teruk semata-mata.

"Saya mengalami batuk sedikit, dipanggil pleural tuberculosis (TIBI Selaput Paru-Paru)," jelasnya sambil menambah hanya mengetahui diri dijangkiti virus tibi selepas membuat pemeriksaan doktor.

Menurut Azrin, pemeriksaan kesihatan dibuat selepas dia menyedari perubahan pada tubuh dan tahap kecergasan diri.

Ia berikutan dia tiba-tiba mengalami gejala semput ketika mendaki tangga.

Sebagai individu yang aktif bersukan, dia mengakui rasa hairan apabila tubuhnya tiba-tiba mengalami rasa semput semasa mendaki tangga.

"Saya selalu sertai maraton dan bersukan, tiba-tiba naik tangga rasa semput sangat serta susah nak bercakap.

"Maghrib je rasa sejuk dan berpeluh sejuk... macam-macam ujian buat dan akhirnya dapat keputusan tibi," luahnya sambil menzahirkan rasa syukur apabila semua kenalan rapat disahkan bebas tibi.

Berkongsi proses rawatan yang diikuti, ujar lelaki ini, dia mengamalkan pengambilan ubat selama 180 hari tanpa berhenti.

Selain itu katanya, dia juga terpaksa menjalani rawatan tebuk paru-paru bagi membuang air berlebihan.

"Alhamdulillah recover, punya kuat ubat tu sampai air kencing bertukar warna menjadi ungu. Tipnya, kesan awal dan pastikan makan ubat mengikut aturan.

"Jangan cuba cara lain," tambahnya yang bercuti kerja selama sebulan ketika proses rawatan berlangsung.

Individu bersukan juga tidak terkecuali daripada terkena penyakit tibi. -Gambar hiasan AI

Individu bersukan juga tidak terkecuali daripada terkena penyakit tibi. -Gambar hiasan AI

Ini gejala yang patut anda ambil perhatian serius:

1. Batuk lebih 2 minggu

2. Demam berpanjangan

3. Berpeluh malam

4. Berat badan turun tanpa sebab

5. Hilang selera makan

6. Sakit dada

7. Batuk berdarah atau kahak berdarah

Cara pemeriksaannya adalah seperti berikut:

1. Saringan risiko di klinik kesihatan (temu bual dan pemeriksaan)

2. X-ray dada

3. Ujian kahak untuk kes yang bergejala atau disyaki

4. Saringan kontak rapat walaupun anda rasa sihat.

Artikel Lain