suria
mStar - Urban.Versatil

Dijemput ajal sambil peluk bekas makanan... Lelaki kurus kering meninggal dunia seorang diri di ruang penuh sampah

Sadis... Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia ketika memeluk bekas makanan. -Foto Facebook Abbe Hae

DITEMUKAN meninggal dunia seorang diri dalam keadaan menyayat hati, perjalanan akhir seorang lelaki dari Miri, Sarawak ini mengundang sebak ramai.

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan Mohd Adnan atau terkenal dengan panggilan Abbe Hae, si mati berusia 50 tahun itu ditemukan menghembuskan nafas terakhir sambil memeluk bekas makanan.

"Insan ini tak sempat Abbe selamatkan. Dia peluk bekas makanan sebab kelaparan.

"Kalau setakat letak makanan begitu, manalah dia mampu untuk makan sendiri. Manusia semakin zalim," ujarnya.

Menerusi foto dimuat naik, lelaki itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas lantai hanya beralaskan tilam dan bantal usang, dalam ruang yang dipenuhi sampah sarap.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas uzur dibiar terabai seorang diri… Rumah bersepah, badan bergelumang najis - “Ini bukan lesen buat ayah begini”

Menurut Mohd Azhan, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia pada tengah hari Isnin.

Kisah kematian menyayat hati di Kampung Pangkalan Lutong itu meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi apabila lelaki itu didakwa diabaikan keluarga walaupun dalam keadaan uzur.

"Pengajaran daripada kes ini... walaupun kita sering bergaduh adik-beradik, janganlah sampai lakukan seperti ini apabila mereka sakit.

"Berdendam tidak akan jadikan kita manusia yang lebih baik. Menyimpan dendam umpama menyeret beban sepanjang hayat," titip Mohd Azhan sebagai peringatan.

Hantaran tersebut dikongsikan semula lebih 3,000 pengguna Facebook dengan rata-ratanya meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap nasib menimpa si mati.

"Tergamak buat macam ni. Al-fatihah semoga rohnya dicucuri rahmat.

"Berapa lama la dibiarkan sampai kurus kering macam tu. Sedihnya, ya Allah.

"Allahuakbar, tapi kita tak tahu apa kisah arwah dan adik-beradiknya. Mungkin dendam yang paling tersakiti hingga mereka tergamak lakukan itu," komen beberapa netizen.

Artikel Lain